Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Bekas Tonggak 'Double Treble' Kedah Nelson San Martin Kini Dibantu MADAD

MADAD
Kredit: Facebook Mohammad Yaakub Yusra

Bekas Tonggak 'Double Treble' Kedah Nelson San Martin Kini Dibantu MADAD

Bekas pemain import legenda Kedah era 'Double Treble' 2007 dan 2008, Nelson San Martin, kini menerima sinar baharu apabila dibantu oleh MADAD, selain bakal memperoleh sumber pendapatan menerusi penubuhan sebuah akademi bola sepak.

Pendakwah bebas, Mohammad Yaakub Yusra, berkata pihaknya berusaha membantu bekas pemain kelahiran Chile itu selepas mengetahui kesukaran hidup yang dihadapinya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Yaakub Yusra dalam satu perkongsian menerusi Facebooknya pagi tadi berkata, Nelson kini ditempatkan di MADAD yang menyediakan kemudahan penginapan dan makan minum mengikut kemampuan mereka.

Menurutnya, meskipun MADAD sendiri berdepan kekangan kewangan, Nelson tidak pernah merungut malah sentiasa membantu melatih pelajar-pelajar akademi bola sepak di pusat berkenaan.

"Alhamdulillah, tahun ini pasukan kami berjaya meraih tiga kejuaraan dan akan mewakili Kedah ke kejohanan peringkat kebangsaan pada September nanti dengan izin Allah," katanya.

Beliau berkata, sebagai usaha memastikan Nelson mempunyai pendapatan yang lebih stabil, MADAD merancang membuka sebuah akademi bola sepak yang akan dikendalikan oleh bekas pemain itu.

Ujarnya, yuran penyertaan akademi tersebut akan disalurkan kepada Nelson sebagai pendapatan bulanan, selain membolehkan beliau terus menyumbang kepakaran sebagai jurulatih bertauliah.

"Nelson mempunyai lesen kejurulatihan yang sah. Melalui akademi ini, sekurang-kurangnya beliau mempunyai sumber pendapatan tetap sambil terus mencurahkan pengalaman kepada pemain-pemain muda," katanya.

Dalam pada itu, Yaakub Yusra turut mengajak orang ramai yang berkemampuan untuk menghulurkan bantuan bagi meringankan beban Nelson, khususnya bagi menampung keperluan tempat tinggal isteri dan anak-anaknya di Pulau Pinang.

Beliau berkata, Nelson kini tinggal di MADAD, manakala keluarganya menetap di kediaman lain sementara keadaan kewangan mereka kembali stabil.

Pada masa sama, Yaakub Yusra turut berkongsi bahawa Nelson kini semakin selesa dengan kehidupan di MADAD.

Menurutnya, bekas pemain itu memperkenalkan dirinya sebagai Mohamed Nelson dan telah lama meninggalkan pengambilan minuman keras serta daging babi sepanjang berada di pusat berkenaan.

Beliau turut mengajak orang ramai mendoakan agar Nelson terus diberikan kekuatan dan dipermudahkan segala urusannya pada masa hadapan.

Intipati
  • Nelson San Martin kini ditempatkan di MADAD selepas berdepan kesukaran hidup beberapa tahun.
  • MADAD merancang membuka akademi bola sepak yang bakal dikendalikan bekas pemain Kedah itu.
  • Yuran penyertaan akademi bakal disalurkan kepada Nelson sebagai pendapatan bulanan lebih stabil.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan