Pembelian tongkat milik Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada harga RM16,500 bukan didorong nilai barangan berkenaan atau perasaan taksub terhadap individu, sebaliknya sebagai kenangan dan peringatan buat dirinya sepanjang hayat.
Perkara itu dijelaskan Datuk Muqharabbin Mokhtarrudin yang berkata, peluang berada dekat dengan tokoh yang disifatkannya sebagai murabbi itu menjadi antara pengalaman terindah buatnya.

Menurutnya, pembelian tongkat berkenaan juga memberi peluang kepadanya untuk menyumbang kepada perjuangan Pas Melaka dan Pas Malaysia.
“Bukan kerana nilai sebuah tongkat, dan bukan kerana taksub kepada manusia.
“Tetapi kerana ia akan menjadi kenangan dan peringatan sepanjang hidup saya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Semalam, tongkat kayu kemuning milik Abdul Hadi mencuri perhatian apabila dilelong pada harga RM16,500 dalam Majlis Makan Malam Amal Pas Melaka.
Tongkat yang tertera singkatan TGHH, merujuk kepada ‘Tuan Guru Haji Hadi’, itu dilelong dengan persetujuan Abdul Hadi bagi membantu jentera Pas menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan datang.
Mengulas lanjut, Muqharabbin berkata, tongkat berkenaan akan menjadi peringatan buat dirinya bahawa kekuatan, usia dan kudrat manusia tidak akan kekal selama-lamanya.
Ujarnya, selagi masih diberikan kesihatan, usia dan kekuatan, setiap individu perlu terus berjuang dalam bidang masing-masing tanpa menunggu sehingga kudrat semakin terbatas.
“Justeru, selagi Allah beri usia dan kudrat, berjuanglah walau di mana kita berada. Jangan tunggu sehingga kita sudah tidak mampu,” katanya.
Menurutnya, beliau turut mengambil pengajaran daripada hakikat bahawa manusia akan melalui proses penuaan dan kembali kepada keadaan lemah sekiranya dipanjangkan usia.
Dalam pada itu, Muqharabbin menegaskan penghormatan terhadap seseorang manusia tidak seharusnya disamakan dengan perasaan taksub.
Katanya, penghormatan tertinggi umat Islam kepada manusia adalah terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
“Tiada perasaan taksub kepada makhluk Allah. Penghormatan tertinggi kita kepada manusia hanyalah kepada junjungan besar Baginda Rasulullah ﷺ,” ujarnya.
Menjelaskan nilai RM16,500 yang dibayar bagi mendapatkan tongkat berkenaan, beliau berkata angka itu turut dijadikan simbol peribadi buat dirinya.
Menurut Muqharabbin, angka satu, enam, lima dan dua sifar dikaitkannya dengan Ihsan, Iman, Islam serta hakikat bahawa manusia akhirnya akan meninggalkan dunia tanpa membawa apa-apa.
Bagaimanapun, jelasnya, tafsiran angka tersebut bukanlah satu tafsiran agama, sebaliknya sekadar simbol peribadi untuk mengingatkan dirinya supaya terus menjaga Islam, Iman dan Ihsan sehingga akhir hayat.
Beliau turut menjadikan maksud Surah al-Rahman ayat 26 sebagai peringatan mengenai sifat sementara kehidupan dunia dan hakikat bahawa segala yang ada di bumi akan binasa.
“Sebuah tongkat, sebuah kenangan, tetapi membawa peringatan untuk sepanjang kehidupan,” katanya.
Muqharabbin turut menyatakan hasrat untuk meneruskan perjuangan selagi diberikan usia dan kudrat, selain berharap dapat bertemu semula pada Muktamar Pas 2026 di Kelantan.

