Malaysia Airlines Bhd akan menjadualkan semula beberapa penerbangan terpilih yang tiba dan berlepas dari Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) susulan penutupan sementara ruang udara sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69.
Syarikat penerbangan nasional itu berkata, penutupan ruang udara dalam Kawasan Kawalan Terminal Kuala Lumpur dibuat bagi memudahkan pelaksanaan latihan serta acara Lintas Hormat Hari Kebangsaan 2026.
Menurut Malaysia Airlines, keadaan itu akan menyebabkan operasi perlepasan dan pendaratan pesawat di KLIA dihentikan sementara pada waktu tertentu.

“Penumpang yang terjejas akan dimaklumkan menerusi saluran komunikasi yang didaftarkan oleh mereka dan digalakkan menyemak status penerbangan terkini di laman web atau aplikasi mudah alih Malaysia Airlines sebelum pergi ke lapangan terbang.
“Menjelang cuti sekolah akan datang dan tempoh perjalanan pada waktu puncak dari 26 Ogos hingga 6 September 2026, penumpang yang berlepas dari KLIA Terminal 1 dinasihatkan supaya tiba sekurang-kurangnya empat jam sebelum waktu pelepasan yang ditetapkan bagi memberi masa mencukupi untuk prosedur di lapangan terbang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Penutupan sementara ruang udara itu, ujarnya, dijadualkan berlangsung dari jam 11 pagi hingga 12 tengah hari pada 26 hingga 28 Ogos.
Pada 29 dan 31 Ogos pula, penutupan akan dilaksanakan dari jam 8.45 pagi hingga 9.45 pagi, selaras dengan jadual latihan, latihan penuh dan acara Lintas Hormat Hari Kebangsaan.
Dalam masa sama, Malaysia Airlines turut mengingatkan bahawa kaunter daftar masuk akan ditutup 60 minit sebelum waktu pelepasan bagi penerbangan domestik dan antarabangsa.
Pintu pelepasan pula, jelasnya, akan ditutup 30 minit sebelum pesawat berlepas.

Syarikat penerbangan itu berkata, penumpang juga perlu bersedia menghadapi tempoh menunggu yang lebih lama, termasuk di kaunter daftar masuk, imigresen dan pemeriksaan keselamatan.
Menurutnya, tempoh menunggu di lokasi berkenaan dijangka melebihi 45 minit susulan peningkatan jumlah pelancong sepanjang tempoh perjalanan pada waktu puncak.
Sehubungan itu, penumpang dinasihatkan supaya memastikan semua dokumen perjalanan lengkap serta mengesahkan urusan kemasukan dan pelepasan menerusi saluran rasmi sebelum memulakan perjalanan.



