Belum ada etnik Rohingya yang dibawa pulang ke Myanmar dalam kalangan 10,000 warga Myanmar yang dihantar pulang ke negara asal mereka setakat ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan mengenai perkara itu ketika menjawab soalan tambahan yang diajukan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) di Sidang Parlimen pada Selasa.
“Dalam rekod yang kita kesan setakat ini, belum ada rakyat Rohingya yang dibawa pulang. Tetapi ini masih lagi dalam perbincangan.
“Saya percaya Menteri Luar (Datuk Seri Mohamad Hasan) dan saya, ketika bertemu dengan Presiden Min Aung Hlaing dalam beberapa hari ini, akan juga bangkitkan isu ini supaya dapat ditangani dengan sebaik mungkin.
“Bagi saya, mana-mana negara yang ingin bawa pulang rakyat mereka dari negara kita, itu kita alu-alukan,” katanya di Dewan Rakyat.
Menurutnya, proses penghantaran pulang warga Myanmar tidak dibuat berdasarkan etnik tertentu.
“Setakat ini dalam perjanjian kita, kita kata bawa pulang rakyat Myanmar. Sama ada Arakan, Karen, Shan ataupun Rohingya,” katanya.
Sementara itu, Anwar juga berkata lebih 10,000 warga Myanmar telah dihantar pulang ke negara asal sejak awal tahun ini hasil rundingan langsung antara kerajaan Malaysia dan pihak berkuasa Myanmar.
Daripada jumlah itu, sebahagian dibawa pulang menerusi pesawat atas inisiatif kerajaan Myanmar sendiri, manakala kumpulan terakhir kira-kira 1,400 orang dihantar pulang menggunakan kapal Tentera Laut Myanmar.
Ujar beliau, jumlah warga Myanmar yang berada di Malaysia kini mencecah kira-kira 200,000 orang, sekali gus menjadikan isu itu bukan sahaja melibatkan soal kemanusiaan, tetapi turut berkait dengan keselamatan, pekerjaan dan keselesaan hidup rakyat tempatan.
“Masalah ini merupakan antara isu keselamatan dan kemanusiaan. Jumlah yang terkumpul dari Myanmar mencecah 200,000.
“Masyarakat tentunya resah kerana bila jumlah begitu besar, ia melibatkan juga soal pekerjaan, keselamatan dan keselesaan hidup rakyat tempatan,” katanya.
Anwar berkata kerajaan perlu bertegas dalam menangani isu berkenaan kerana negara mempunyai undang-undang dan peraturan yang perlu dipatuhi.
“Jadi kita harus bertegas, negara ini diatur mengikut hukum.
“Maknanya pelarian yang tidak ikut peraturan tidak boleh dilayan sehingga mereka rasa selesa dan kekal dalam negara kita.
“Jadi kita harus ambil langkah-langkah munasabah, terikat dengan undang-undang antarabangsa dan juga kemanusiaan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan Malaysia tidak bersetuju sekiranya berlaku penderaan terhadap pelarian atau warga Myanmar yang dihantar pulang.
“Jadi kalau ada penderaan dan sebagainya, tentunya kita tidak setuju.
“Langkah yang dicadangkan 10 tahun tidak begitu berhasil. Ada percubaan-percubaan sebelum ini, menghantar pulang tidak mungkin,” katanya.
Menurut Anwar, keadaan itu menyebabkan kerajaan mengambil keputusan sejak dua tahun lalu untuk mengadakan rundingan secara langsung dengan pihak berkuasa Myanmar.
“Sebab itu, sejak dua tahun yang lalu, kami mengambil keputusan untuk mengadakan rundingan terus dengan tentera Junta dan kemudiannya selepas dilantik Presiden, berjumpa kali pertama di Bangkok, kali kedua di Beijing.
“Kita tetapkan supaya disederhanakan tindakan kepada rakyat supaya mereka tidak lari ke Malaysia.
“Keduanya, tidak melayani rakyat secara kasar,” katanya.
