Dua pelanggan sebuah restoran makanan segera McDonald di Oklahoma, Amerika Syarikat, menembak dua orang pekerja selepas mereka diminta meninggalkan ruang makan di restoran berikutan sekatan Covid-19.
Kedua-dua suspek yang berang kemudiannya mengeluarkan pistol sewaktu mereka diminta untuk beredar, kata polis di bandar Oklahoma, Lt. Michelle Henderson.
Akibat tembakan oleh kedua-dua suspek, dua pekerja ditembak di bahagian kaki dan bahu manakala pekerja yang lain mengalami beberapa kecederaan di kepala, lapor polis.
Kedua-dua suspek kemudiannya melarikan diri dan berjaya diberkas di kawasan berdekatan, tambah Henderson.
Difahamkan, kejadian tersebut merupakan salah satu daripada beberapa siri tunjuk perasaan rakyat yang berlaku di AS berikutan sekatan oleh pihak kerajaan bagi memerangi wabak Covid-19 di negara berkenaan.
Di Michigan, seorang pegawai keselamatan di sebuah kedai ditembak setelah meminta pelanggan memakai topeng muka – arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan untuk semua kedai dan pasaraya.
Sumber: CNN
