Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Berat Cucian Mesin Basuh Sebenarnya Termasuk Air Sekali Atau Pakaian? Ini Jawapannya

mesin basuh
Kredit: Useactive

Mesin basuh merupakan salah satu barang elektrik 'wajib' ada di rumah kerana ia banyak membantu meringankan kerja harian, lebih-lebih lagi apabila pakaian seisi keluarga sudah mula bertimbun.

Di pasaran, terdapat pelbagai jenis mesin basuh, namun yang sering digunakan ialah jenis top load atau bukaan atas dan front load atau bukaan depan.

Kapasitinya juga berbeza, bergantung pada keperluan setiap keluarga.

Namun, pernah tak terfikir bagaimana hendak mengagak jumlah pakaian yang sesuai untuk dimasukkan ke dalam mesin basuh berkapasiti 10kg?

Kalau muatan terlalu banyak, pakaian mungkin tidak dapat dicuci dengan baik dan mesin juga boleh menerima tekanan berlebihan.

Jadi tanpa membuang masa, mari SK kongsikan di bawah.

Ini rupanya had sukatan kapasiti pakaian untuk mesin basuh top loading dan front loading

Sekiranya di rumah atau di dobi mempunyai mesin basuh dengan kapasiti 10kg, bagaimana hendak tahu jika had sukatan pakaian adalah 10kg juga?

Sebagaimana yang kita selalu nampak, mesin basuh jenis front loading selalu ada di dobi.

Sebelum ni pasti ramai yang menyangka bahawa mesin basuh jenis itu tidak boleh memuatkan terlalu banyak pakaian dalam satu basuhan.

Kalau sumbat banyak pakaian, kita pasti risau mesin basuh itu rosak dan kita pula kena bayar ganti rugi.

Menurut Haier, kapasiti sesebuah mesin basuh diukur berdasarkan berat pakaian kering yang hendak dibasuh. Jadi, jika mesin basuh yang dibeli berkapasiti 10 kg, maka mesin basuh berkenaan mampu memuatkan pakaian kering seberat 10 kg.

Ringkasnya, kapasiti 10 kg yang dimaksudkan pada mesin basuh itu adalah merujuk kepada berat pakaian kering yang boleh diisi.

Berbalik kepada perkongsian @abgletriqq berkenaan tip mengisi pakaian dalam mesin basuh, dia menjelaskan anda boleh mengisi seberapa banyak pakaian dalam mesin basuh jenis front loading.

Hal ini kerana, mesin basuh front loading menggunakan seratus peratus putaran drum dalaman yang ada dalam mesin basuh tersebut. Kekuatan mesin itu boleh memutar pakaian yang disumbatkan dalam mesin tanpa masalah.

Ini berbeza dengan mesin basuh top loading yang menggunakan pulsator di pertengahan drum bagi membantu putaran air supaya pakaian berpusing.

Bagi mesin basuh top loading, kuantiti air perlu melebihi pakaian. Maka, had pakaian yang anda perlu letakkan ke dalam mesin basuh adalah 3/4 daripada drum sahaja.

Menurut @abgletriqq lagi, pulsator sukar melakukan putaran air sekiranya anda ‘menyumbat’ pakaian ke dalam mesin basuh sehingga penuh.

Bukan itu sahaja, malah perbuatan berkenaan mengakibatkan pakaian sukar untuk dicuci sekali gus pencucian menjadi tidak bersih.

Selain itu, clutch spring mesin basuh turut menjadi rosak disebabkan terlebih beban pakaian.

Intipati
  • Menurut Haier, kapasiti mesin basuh diukur berdasarkan berat pakaian kering.
  • Mesin basuh 10kg mampu memuatkan pakaian kering seberat 10kg untuk satu cucian.
  • Mesin top loading disaran diisi tiga perempat drum kerana memerlukan air melebihi pakaian.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan