Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Berbulan-Bulan Usaha Seorang Diri, Lelaki Ini Pecah Rekod Dunia Kali Kedua Dengan Labu Seberat 1,295.8 Kg

Labu
Kredit: Guinness World Records

Seorang lelaki dari Hampshire, United Kingdom (UK), Ian Paton, sekali lagi mencipta sejarah apabila labu gergasi hasil tanamannya berjaya memecahkan rekod dunia sebagai labu paling berat di dunia.

Labu seberat 1,295.8 kilogram (kg) itu disahkan oleh pegawai Great Pumpkin Commonwealth (GPC) pada 3 Oktober lalu, sekali gus mengatasi rekod terdahulu yang turut dipegangnya bersama saudara kembarnya, Stuart Paton, pada 2025.

Lebih menarik, labu yang diberi nama “Bagheera” itu dikatakan lebih berat daripada seekor badak putih.

Nama tersebut diinspirasikan daripada watak harimau kumbang dalam novel kanak-kanak klasik The Jungle Book, susulan cadangan anak Ian.

Lebih berat berbanding rekod tahun lalu

Pada Oktober 2025, Ian dan Stuart pernah mencipta sejarah apabila labu gergasi mereka seberat 1,278.8kg, yang diberi nama “Muggle”, dinobatkan sebagai labu paling berat di dunia.

Kejayaan itu menyaksikan mereka merampas gelaran berkenaan daripada penanam labu profesional dari Minnesota, Amerika Syarikat (AS), Travis Gienger, yang memegang rekod dunia pada 2023 menerusi labu seberat 1,246.9kg.

Bagaimanapun, rekod tersebut sekali lagi dipecahkan oleh Ian pada tahun ini apabila Bagheera mencatatkan berat kira-kira 17kg lebih tinggi berbanding Muggle.

Walaupun kehilangan gelaran sebagai labu paling berat di dunia, Muggle masih mengekalkan satu lagi rekod tersendiri, iaitu labu dengan ukur lilit terbesar pernah direkodkan, pada 649.8 sentimeter (cm).

Sementara itu, Bagheera mempunyai ukur lilit 596.9cm, sedikit lebih kecil berbanding pendahulunya.

Berusaha seorang diri selama berbulan-bulan

Kejayaan terbaharu itu cukup bermakna buat Ian yang sebelum ini menanam labu gergasi bersama Stuart selama lebih 50 tahun.

Stuart memilih untuk bersara daripada dunia penanaman labu gergasi selepas mereka berjaya meraih gelaran dunia pada 2025, manakala Ian mengambil keputusan untuk meneruskan usaha bagi menghasilkan labu yang lebih besar.

Kredit: Guinness World Records

Menurut Ian, tahun ini menjadi lebih mencabar kerana dia perlu menguruskan tanaman itu seorang diri.

“Banyak lagi kerja yang perlu dilakukan kerana saya bersendirian, termasuk menghabiskan sehingga enam jam sehari di kawasan tanaman selama dua bulan. Namun, saya berjaya mengharunginya,” katanya kepada Guinness World Records (GWR).

Dia turut berseloroh bahawa kesibukan menguruskan tanaman itu menyebabkan dia tidak mempunyai banyak masa bersama isterinya.

Tanam dalam rumah hijau, siram sehingga 590 liter air sehari

Cuaca panas melampau yang melanda UK sepanjang musim panas turut menjadi cabaran kepada Ian dalam memastikan tanaman labunya terus membesar dengan baik.

Bagaimanapun, pengalaman luas dalam bidang penanaman membantunya mengatasi masalah tersebut, khususnya menerusi kaedah penanaman menggunakan rumah hijau.

Menurut Ian, kaedah itu memberikan permulaan lebih awal kepada tanaman pada awal tahun, sekali gus membolehkan labu membesar dalam tempoh yang mencukupi untuk mencapai saiz maksimum.

Beberapa bahagian tingkap rumah hijau turut diputihkan bagi mengurangkan kemasukan cahaya matahari yang terlalu terik dan melindungi daun pokok labu.

Ketika suhu di dalam rumah hijau mencecah 40 darjah Celsius, tanaman berkenaan menerima sehingga 590 liter air sehari, bersamaan kira-kira tiga tab mandi penuh.

Lebih menakjubkan, labu itu hanya mengambil masa sekitar 120 hari untuk membesar daripada saiz sebiji bola golf kepada saiz gergasi berkenaan.

“Labu boleh membesar sehingga 32kg sehari, sesuatu yang benar-benar luar biasa,” katanya.

Bukan Bagheera sahaja yang hampir memecahkan Rekod

Menariknya, Bagheera bukan satu-satunya labu gergasi hasil tanaman Ian yang mencatatkan berat luar biasa pada tahun ini.

Beberapa minggu sebelum rekod dunia itu disahkan, Ian turut menyertai CANNA UK National Giant Vegetables Championship sempena Malvern Autumn Show.

Dalam pertandingan itu, dia meraih tempat pertama bagi kategori labu menerusi satu lagi hasil tanaman gergasi yang diberi nama “Baloo”.

Baloo mencatatkan berat 1,258kg, menjadikannya labu kedua paling berat pernah direkodkan ketika itu, meskipun masih belum dapat mengatasi rekod Muggle.

Bagaimanapun, tempoh pertumbuhan tambahan yang diberikan kepada Bagheera sebelum pertandingan timbang di Wargrave pada 3 Oktober dipercayai membantu labu itu mencapai berat lebih tinggi dan mencipta rekod baharu.

Sasaran seterusnya labu seberat 1,360kg

Walaupun sudah dua kali terlibat dalam kejayaan memecahkan rekod dunia, Ian tidak berhasrat untuk berhenti setakat itu.

Dia menyasarkan untuk menghasilkan labu seberat 3,000 paun, bersamaan kira-kira 1,360.8kg, pada masa akan datang.

Kredit: Guinness World Records

“Saya mahu terus melakukannya. Saya benar-benar mahu menanam labu seberat 3,000 paun. Itulah sasaran yang ada dalam fikiran saya,” katanya.

Usahanya juga mempunyai peluang lebih besar untuk diteruskan apabila lebih 2,600 biji benih berjaya dikumpulkan daripada Bagheera.

Benih tersebut berpotensi digunakan untuk penanaman pada masa hadapan dalam usaha menghasilkan labu yang lebih besar dan memecahkan rekod sekali lagi.

Lima rekod labu paling berat di dunia

Berikut ialah lima rekod labu paling berat berdasarkan rekod yang disenaraikan GWR:

  1. 1,295.8kg – Ian Paton, UK (2026)

  2. 1,278.8kg – Ian dan Stuart Paton, UK (2025)

  3. 1,246.9kg – Travis Gienger, AS (2023)

  4. 1,226kg – Stefano Cutrupi, Itali (2021)

  5. 1,190.49kg – Mathias Willemijns, Belgium (2016)

Bagi orang ramai yang ingin melihat sendiri labu gergasi Bagheera, ia akan dipamerkan di Sunnyfields Farm, berhampiran Southampton di Hampshire, sehingga penghujung Oktober.

Pengunjung juga berpeluang melihat hasil seni unik di lokasi berkenaan, termasuk mozek gergasi yang dihasilkan menggunakan 11,000 buah labu dan sayuran seumpamanya, membentuk potret penyampai dokumentari alam semula jadi terkenal, David Attenborough, sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-100.

Intipati
  • Ian Paton memecahkan rekod dunia dengan labu Bagheera seberat 1,295.8kg.
  • Rekod baharu itu mengatasi labu Muggle seberat 1,278.8kg pada 2025.
  • Ian mengusahakan tanaman itu seorang diri dan menyasarkan labu seberat 1,360.8kg.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan