Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak boleh membeli diesel bersubsidi (BUDI Diesel) pada harga RM2.10 seliter bermula esok (1 Julai) menggunakan MyKad masing-masing.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan berkata pelaksanaan ini dijangka memanfaatkan kira-kira 400,000 pemilik kenderaan diesel persendirian di Semenanjung Malaysia.
Selain itu, ia juga memberi manfaat kepada 300,000 agi pemilik kenderaan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
"Ini merupakan peluasan ketara berbanding BUDI Diesel Individu sebelum ini, yang hanya melibatkan kira-kira 180,000 penerima bantuan tunai bulanan di Semenanjung Malaysia untuk menampung sebahagian kos pembelian diesel pada harga pasaran.
"Selain itu, kira-kira 70,000 kenderaan komersial dan pengangkutan barangan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan kini layak membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter di bawah SKDS.
"Kerajaan MADANI juga akan memperluas liputan kepada kenderaan persendirian jenis pikap dan jip yang berdaftar atas nama syarikat, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan," katanya.

MOF berkata subsidi bahan api memastikan rakyat yang layak tidak perlu membayar harga pasaran penuh.
Langkah ini membantu mengurangkan tekanan kos hidup, melindungi sektor penting yang bergantung kepada bahan api dan menyokong pertumbuhan negara.
Sementara itu, MOF juga berkata akses awal BUDI Diesel bagi pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak di Semenanjung Malaysia telah berjalan lancar sejak dibuka pada 27 Jun 2026.
Sistem pengesahan MyKad di stesen minyak beroperasi dengan baik tanpa sebarang masalah serius dilaporkan oleh penerima subsidi mahupun syarikat minyak.
"Setakat jam 12.00 tengah hari, 30 Jun 2026, kira-kira 80,000 transaksi telah direkodkan, melibatkan pembelian sekitar 3.2 juta liter diesel bersubsidi bernilai hampir RM7 juta pada harga RM2.15 seliter.
"Pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak juga boleh memohon tambahan 100 liter sebulan melalui portal rasmi BUDI MADANI, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
"Setakat jam 9.00 pagi, 30 Jun 2026, lebih 22,000 permohonan telah diterima melalui portal rasmi BUDI MADANI bagi tambahan 100 liter sebulan tersebut," ujar MOF.