Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengesahkan akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, selain membuka ruang untuk membincangkan bentuk kerjasama atau electoral pact dengan mana-mana pihak.
Keputusan itu dibuat Biro Politik Bersatu yang bersidang petang ini dan dipengerusikan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selepas meneliti pelbagai pandangan, analisis serta perkembangan politik semasa berkaitan penyertaan parti itu dalam PRN Melaka.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, parti itu akan menggunakan simbol Bersatu dalam PRN berkenaan, manakala jumlah serta kawasan kerusi yang akan ditandingi akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
“Bersatu akan menyertai Pilihan Raya Negeri Melaka. Bersatu bersedia untuk membincangkan dan memperhalusi bentuk kerjasama atau electoral pact. Bersatu akan menggunakan simbol Bersatu dalam Pilihan Raya Negeri Melaka.
“Dalam masa terdekat, Bersatu akan memuktamadkan kerusi-kerusi yang akan ditandingi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut Azmin, keputusan untuk mewujudkan kerjasama politik dalam PRN Melaka adalah bagi mengoptimumkan potensi parti dalam usaha menjamin kestabilan dan kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri yang sederhana serta progresif demi kesejahteraan rakyat Melaka.
Dalam perkembangan berkaitan, Bersatu Melaka sebelum ini menyatakan sasaran untuk bertanding sehingga 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk mempertahankan Bemban dan Sungai Udang yang pernah dimenangi parti itu pada PRN Melaka 2021.
Pendirian itu dibuat ketika rundingan kerjasama bagi menghadapi PRN Melaka masih berlangsung, termasuk perbincangan dengan Pakatan Harapan (PH) berhubung kemungkinan membentuk kerjasama PH Plus.
Azmin turut merayu agar rakyat Melaka memberi peluang kepada calon Bersatu untuk mewakili suara mereka serta membawa perubahan yang menurutnya dapat memberikan manfaat kepada rakyat negeri itu.
“Bersatu merayu kepada rakyat Melaka untuk memberi peluang kepada calon-calon Bersatu untuk mewakili suara rakyat dan membawa perubahan yang hakiki dan memberikan manfaat langsung kepada semua rakyat Melaka,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Penerangan Bersatu Melaka, Datuk Hishamuddin Abdul Karim berkata, Bersatu dijangka bertanding sehingga 10 kerusi DUN, termasuk sekiranya parti itu mencapai bentuk kerjasama dengan mana-mana gabungan.

