Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengambil keputusan untuk tidak menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata keputusan itu dibuat selepas parti berkenaan mengikuti perkembangan politik semasa di Sarawak yang memberi penekanan terhadap kestabilan, keharmonian masyarakat berbilang kaum serta pembangunan ekonomi yang mampan.
“Sehubungan dengan itu, Bersatu telah mengambil ketetapan untuk tidak menyertai PRN Sarawak ke-13,” katanya.
Menurut Mohamed Azmin, Bersatu Negeri Sarawak akan terus berusaha memperkukuh asas perjuangan parti sebagai wadah untuk memberikan khidmat kepada rakyat di negeri itu.
Selain Bersatu, beberapa parti lain turut mengumumkan keputusan untuk tidak bertanding dalam PRN Sarawak, termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR), Barisan Nasional (BN), Parti Islam Se Malaysia (PAS), Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Wawasan Negara (Wawasan).
Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Disember sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak ke-13.
Hari penamaan calon pula dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini, manakala pengundian awal ditetapkan pada 8 Disember.

