Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

PKR Sarawak Tidak Bertanding PRN Ke-13, Hormati Muafakat Dengan GPS

PKR
Kredit: Bernama

KUCHING, 24 Nov (Bernama) -- Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak memutuskan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-13 sebagai tanda menghormati semangat kerjasama dan muafakat politik dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Kerajaan Perpaduan.

Iklan

Keputusan itu diumumkan menerusi kenyataan bersama tiga pemimpin parti berkenaan iaitu Penasihat PKR Sarawak Datuk Seri Hafsah Harun, Naib Presiden PKR Pusat Roland Engan dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak Mahmud Epah, hari ini.

“Pertimbangan utama yang mendasari pendirian ini adalah sebagai tanda menghormati semangat kerjasama, muafakat dan komitmen politik dalam Kerajaan Perpaduan bagi memelihara kestabilan politik di peringkat negeri dan Persekutuan,” menurut kenyataan itu.

Pendirian berkenaan turut bertujuan memperkukuh hubungan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak, khususnya dalam melaksanakan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Pada masa sama, keputusan berkenaan juga bagi memastikan agenda pembangunan, kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Sarawak terus diberikan perhatian.

Selain itu, PKR Sarawak menyatakan komitmen untuk terus menjunjung prinsip demokrasi, agenda reformasi dan keadilan sosial, mengutamakan kesejahteraan rakyat serta mengekalkan persefahaman politik yang telah dibina bersama GPS.

Sehubungan dengan itu, MPN PKR Sarawak mengarahkan seluruh jentera dan pimpinan parti di semua peringkat di negeri ini supaya mematuhi serta menghormati ketetapan berkenaan.

Mereka juga diminta terus menjaga hubungan baik dengan rakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan, khususnya GPS.

“PKR Sarawak akan terus melaksanakan tanggungjawab serta khidmat bakti kepada rakyat Sarawak tanpa mengabaikan peranannya di negeri ini,” menurut kenyataan bersama itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Dis sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak ke-13, hari penamaan calon pada Sabtu ini manakala pengundian awal pada 8 Dis.

-- BERNAMA

Intipati
  • PKR Sarawak memutuskan tidak bertanding pada PRN ke-13 bagi menghormati muafakat dengan GPS.
  • Pendirian itu bertujuan memelihara kestabilan politik negeri dan Persekutuan dalam Kerajaan Perpaduan.
  • SPR menetapkan pengundian PRN Sarawak ke-13 pada 12 Disember, dengan penamaan calon Sabtu ini.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan