
Bertahun Guna Simpanan Sendiri Hadapi Banjir, Setelah Perubahan Senyap, Ini Pula Yang Orang Kampung Dapat
Bertahun Guna Simpanan Sendiri Hadapi Banjir, Setelah Perubahan Senyap, Ini Pula Yang Orang Kampung Dapat
Sudah menjadi lumrah di Malaysia, musim hujan tentunya disusuli bencana banjir di beberapa kawasan. Kedudukan kediaman, taman perumahan dan perkampungan yang lebih rendah berisiko tinggi untuk dilanda banjir.
Begitu juga beberapa kawasan yang jarang kita dengar dilaporkan, iaitu perkampungan Orang Asli.
Baru-baru ini, Siakap Keli telah mengadakan tinjauan kawasan di Kampung Orang Asli (KOA) Kelinsing, Sepang. Salah seorang penduduk yang terjejas berkongsi, hampir setiap kali musim tengkujuh tiba, rumahnya dimasuki air banjir.
Karim Anak Lelaki Lugan, berusia 58 tahun merupakan penduduk asal KOA Kelinsing.
Bekerja sebagai petani, dia menyara hidupnya sekeluarga dengan menjual hasil tani.

Kedudukan rumahnya yang paling hampir dengan jalan besar membuatkan kediaman itu menjadi antara yang paling teruk terjejas apabila air melimpah dari parit besar.

Segala kesukaran itu mula berubah apabila kampungnya diberi perhatian oleh Kementerian Kewangan (MOF) dan dipilih sebagai Kampung Angkat.
KOA Kelinsing Sebagai Kampung Angkat MOF, Fokus Baik Pulih Infrastruktur Asas
Menerusi program Kampung Angkat Madani (KAM), MOF mengambil inisiatif menambah baik infrastruktur di KOA Kelinsing bagi mengelakkan bencana banjir kembali menghantui penduduk.
Tinjauan Siakap Keli mendapati, sistem perparitan yang dahulunya hanya longkang tanah kini telah dijadikan parit konkrit dengan penambahan flap gate, pintu kawalan bagi menghalang aliran air masuk semula ke parit atau kawasan kediaman.
Sebelum flap gate ini dibina, air banjir kerap melimpah. Namun kini tidak lagi.

Sejak sistem perparitan dinaik taraf, Karim dan keluarganya sudah dapat menarik nafas lega. Tiada lagi beban yang perlu mereka tanggung setiap kali musim hujan tiba.
Sebagai tanda penghargaan dan syukur, mereka melaksanakan inisiatif sendiri untuk menjaga dan membersihkan parit tanpa menunggu tindakan pihak majlis perbandaran.
Bukan setakat itu sahaja, mereka turut menjaga persekitaran kampung selepas projek naik taraf selesai.
Malah, Karim turut berharap agar pelbagai lagi inisiatif dapat dilaksanakan bagi kesejahteraan hidup penduduk kampung.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA), Encik Manan Anak Udang, sistem perparitan telah dinaik taraf sepanjang 100 meter, termasuk pembinaan flap gate dan naik taraf jalan bertar di laluan masuk KOA Kelinsing.

Katanya, struktur flap gate diperlukan bagi menghalang air daripada Sungai Labu membanjiri kampung berkenaan.
“Bila air terlampau banyak, akan tendang balik ke sini. Jadi bila jadi macam tu, menyebabkan air melimpah keluar dari saluran (parit) depan ni.
“Dah ada flap gate tu, dapat menghalang air daripada masuk ke dalam kampung, jadi mengurangkan berlakunya banjir,” maklumnya.
Berpengalaman menjaga tiga buah kampung orang asli, Manan berkongsi keadaan terkini KOA Kelinsing yang tidak terjejas ketika musim monsun baru-baru ini.
Banjir tidak lagi menjadi masalah penduduk di sana.
Untuk pengetahuan, usaha MOF tidak terhenti setakat menaik taraf sistem perparitan di KOA Kelinsing. MOF turut membantu penduduk meningkatkan pendapatan serta kualiti hidup.
Sebagai contoh, seorang penduduk yang sudah lama menjalankan aktiviti perniagaan dengan menjual hasil tani kini menjana pendapatan tambahan sehingga lebih RM2,000 sebulan.
Berbekalkan pengetahuan turun temurun, maklumat disalur, pendapatan bertambah
Perniagaan Shila, 51 tahun bermula dari hanya dua jenis produk anyaman, berkembang kepada lebih 10 jenis produk.
Menurutnya, tiada jalan ringkas untuk membuat anyaman daripada daun mengkuang. Dengan adanya sokongan pelbagai pihak, semangat untuk teruskan perniagaan tidak pernah padam.

Biarpun jualan anyaman tradisi turun temurun ini hanya aktiviti perniagaan sampingan, namun kualiti hidupnya kini lebih baik berbanding dahulu.
Malah, wanita berkenaan masih mempunyai senarai panjang perancangan untuk masa hadapan dalam usaha menjana pendapatan penduduk setempat.
Tambahnya, walaupun tidak seramai yang diidamkan, generasi muda di KOA Kelinsing kini mula berjinak dengan aktiviti perniagaan apabila infrastruktur seperti kios niaga dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dibangunkan di sana.
Adanya kios niaga sedikit sebanyak dapat menarik anak muda untuk terlibat kerana tempat berniaga kini lebih selesa dan kemas berbanding pondok yang dibina penduduk sebelum ini.
Sementara itu, wakil belia KOA Kelinsing, Macwilson yang berusia 29 tahun menggunakan kios niaga sebagai platform pameran dalam mengetengahkan pakaian tradisi Suku Temuan tanpa mengharapkan sebarang bayaran.

Malah, kemudahan seperti komputer riba, pencetak dan jaringan internet turut membantunya dalam usaha ini.
Jangan tak tahu, penduduk KOA Kelinsing sudah ada senarai panjang cadangan dan penambahbaikan yang ingin dilaksanakan, hanya menunggu kelulusan pihak berkaitan.
Penduduk yakin, segala hasrat ini dapat dilaksanakan memandangkan proses permohonan bantuan kini berjalan dengan lebih lancar.
Rata-rata, mereka menyambut baik serta mengalu-alukan usaha naik taraf kampung yang menjadikan kehidupan mereka lebih selesa berbanding dahulu.
Semoga hasrat mereka melihat kehidupan generasi seterusnya terjamin menjadi realiti.
