Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Malaysia Siap Siaga Hadapi Risiko Jangkitan Penyakit Nipah - KKM

Azizah Najib
malaysia siap siaga penyakit nipah
Kredit: Bernama

Malaysia Siap Siaga Hadapi Risiko Jangkitan Penyakit Nipah - KKM

Putrajaya -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merujuk laporan media berkenaan situasi wabak Penyakit Nipah di West Bengal, India.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook KKM, jabatan berkenaan memaklumkan tiada kes baharu Penyakit Nipah dilaporkan di Malaysia sehingga kini. Perkara ini berikutan kejayaan penyakit tersebut dibendung sejak September 1999.

KKM berkata, Penyakit Nipah merupakan penyakit berjangkit zoonotik yang disebabkan virus Nipah (NIV). Keluang (flying foxes atau fruit bats) merupakan perumah semula jadi bagi virus ini.

"Jangkitan kepada manusia boleh berlaku melalui sentuhan langsung dengan cecair badan haiwan yang dijangkiti seperti air liur, darah dan rembesan, pengambilan makanan yang telah tercemar, dan kontak dengan cecair badan individu yang dijangkiti," jelas KKM.

virus penyakit nipah
Kredit: Facebook Dr Dzulkefly Ahmad

Penyakit ini juga dapat dikesan melalui gejala seperti demam, sakit kepala, muntah, batuk, susah bernafas dan sawan. Begitu juga gejala kekeliruan dan kebingungan yang pada kebiasaan berlaku selepas tempoh pengeraman lima hingga 14 hari.

Tambah KKM, komplikasi penyakit dari virus ini termasuk radang otak (encephalitis) dan masalah pernafasan. Kadar kematian pula antara 40 peratus hingga 75 peratus.

Penyakit ini wajib dilaporkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Pemantauan berterusan penyakit ini juga dipertingkatkan melalui kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) melalui pendekatan One Health.

"Setakat ini, tiada virus Nipah dikesan dalam kalangan haiwan dmoestik atau liar," jelas jabatan tersebut.

Kredit: Facebook Dr Dzulkefly Ahmad

Berikutan itu, orang awam dinasihat agar mengelak dari menyentuh haiwan yang sakit atau mengambil produk yang disyaki tercemar, terutamanya pengembara di kawasan berisiko tinggi. Hal ini bagi mencegah jangkitan virus Nipah.

"Pengembara dari kawasan yang berisiko dinasihatkan untuk memantau status kesihatan kendiri dan segera dapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya tidak sihat," maklum KKM.

KKM kekal waspada risiko Penyakit Nipah di Malaysia

Tegas KKM, jabatan berkenaan kekal berwaspada terhadap risiko penularan rentas sempadan susulan kejadian jangkitan secara sporadik di beberapa negara lain biarpun tiada sebarang kes Penyakit Nipah dilaporkan sejak tahun 1999.

"Sehubungan dengan itu, KKM terus memperkukuhkan kesiapsiagaan melalui saringan kesihatan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA), khususnya melibatkan pengembara dari negara berisiko," jelas jabatan itu.

Kredit: Facebook Dr Dzulkefly Ahmad

Dalam pada itu, jabatan berkenaan turut mempertingkat pengawasan berterusan serta mengukuhkan kapasiti makmal negara. Begitu juga kesiapsiagaan fasiliti kesihatan, pelaksanaan langkah pencegahan dan kawalan termasuk amalan pencegahan dan kawalan infeksi (IPC).

KKM turut mengadakan kerjasama rentas sektor dan antara agensi bagi melindungi kesihatan awam dan mencegah kemunusulan semula Penyakit Nipah di negara ini.