Seramai 1.3 bilion penduduk di rantau Asia Pasifik dijangka berusia lebih 60 tahun menjelang 2050, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap risiko penyakit kronik seperti sakit jantung, strok, diabetes dan kanser.
Susulan perubahan demografi itu, syarikat farmaseutikal Bayer menyeru orang ramai supaya mengambil langkah lebih awal dalam menjaga kesihatan, termasuk menjalani pemeriksaan berkala bagi mengesan penyakit sebelum menjadi lebih serius.
Berdasarkan unjuran, jumlah tersebut mewakili kira-kira satu daripada empat penduduk di rantau Asia Pasifik.
Dalam masa sama, Asia kini menyumbang enam daripada setiap 10 kematian akibat strok di seluruh dunia, menunjukkan betapa pentingnya usaha pencegahan dan rawatan awal dilakukan.
Perkara itu dibangkitkan menerusi acara media Bayer bertajuk Longer Lives, Better Years: Reimagining Healthcare for Asia Pacific yang berlangsung sempena Silver Economy Forum 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 11 November lalu.
Forum anjuran Global Coalition on Aging (GCOA) dan Persatuan Penuaan Sihat Malaysia (MHAS) itu turut menghimpunkan pakar kesihatan dan penuaan bagi membincangkan cabaran kesihatan susulan peningkatan jumlah penduduk berusia.

Orang ramai disaran tahu tiga bacaan kesihatan utama
Sebagai langkah awal, Bayer menggesa golongan dewasa berusia lebih 40 tahun supaya mengetahui tiga bacaan kesihatan penting, iaitu tekanan darah, paras kolesterol dan gula dalam darah.
Ketua Rantau Asia Pasifik Bayer Pharmaceuticals, Simon Rosof berkata, peningkatan jangka hayat perlu disertai dengan usaha memastikan masyarakat kekal sihat untuk tempoh yang lebih panjang.
Menurutnya, pengesanan penyakit lebih awal, rawatan berkesan dan langkah pencegahan perlu diberi perhatian bagi mengurangkan beban terhadap pesakit, keluarga serta sistem kesihatan.
Sementara itu, kajian Beban Penyakit Global yang diterbitkan dalam jurnal The Lancet Public Health pada Julai 2026 mendapati penduduk dunia kini menghabiskan purata 10.7 tahun dalam keadaan kesihatan kurang baik, berbanding 8.8 tahun pada 1990.
Keadaan itu turut berlaku di Asia Pasifik apabila individu yang mencapai usia 60 tahun di rantau ini kehilangan hampir lima tahun daripada baki jangka hayat mereka akibat penyakit dan ketidakupayaan.

Di Malaysia pula, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023 mendapati kira-kira satu daripada tiga orang dewasa mempunyai paras kolesterol tinggi, namun lebih separuh daripada mereka tidak menyedari keadaan tersebut.
Asia catat enam daripada 10 kematian akibat strok dunia
Dalam perbincangan itu, strok turut diketengahkan sebagai antara penyakit yang memerlukan perhatian serius.
Data menunjukkan Asia menyumbang 61 peratus daripada kematian akibat strok di seluruh dunia pada 2020, melibatkan kira-kira 4.1 juta kematian.
Angka tersebut dijangka meningkat kepada 69 peratus atau kira-kira 6.6 juta kematian setahun menjelang 2050.
Lebih membimbangkan, strok bukan hanya melibatkan golongan warga emas.
Di Malaysia, seseorang dilaporkan mengalami strok kira-kira setiap 13 minit, manakala sekitar 40 peratus pesakit berusia di bawah 60 tahun.
Bagi individu yang pernah mengalami strok, risiko serangan berulang juga masih wujud. Antara 10 hingga 16 peratus pesakit berisiko mengalami strok sekali lagi dalam tempoh setahun selepas serangan pertama.
Tekanan darah tinggi dikenal pasti sebagai faktor risiko utama strok di seluruh Asia, diikuti diabetes.
Penyakit kronik turut beri kesan kepada ekonomi
Selain menjejaskan kesihatan dan kualiti hidup, penyakit kronik turut memberikan kesan besar kepada ekonomi.
Menurut anggaran yang dibentangkan, strok sahaja menelan kos lebih AS$890 bilion (kira-kira RM3.7 trilion) setahun di seluruh dunia. Jumlah itu dijangka meningkat kepada AS$2.31 trilion (kira-kira RM9.7 trilion) menjelang 2050.
Di Malaysia, penyakit tidak berjangkit pula dianggarkan menelan kos RM64.2 bilion setahun, bersamaan 4.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Menariknya, kira-kira 80 peratus daripada jumlah kos tersebut berpunca daripada kehilangan produktiviti, bukannya perbelanjaan penjagaan kesihatan.
Sehubungan itu, pakar yang menyertai forum berkenaan menggariskan empat langkah utama bagi memastikan peningkatan jangka hayat turut disertai kehidupan yang lebih sihat.
Antaranya termasuk memperluas pemeriksaan kesihatan bagi mengesan penyakit lebih awal, memastikan pesakit menerima rawatan dan penjagaan susulan yang baik, menjadikan pencegahan sebagai satu pelaburan serta memperkukuh kerjasama antara kerajaan, industri dan komuniti.
Presiden Persatuan Penuaan Sihat Malaysia, Prof Nathan Vytialingam turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil mudah pemeriksaan kesihatan, khususnya apabila memasuki usia 40 tahun.
Beliau menyarankan orang ramai mengetahui bacaan tekanan darah, kolesterol dan gula dalam darah masing-masing, selain menggalakkan ahli keluarga termasuk ibu bapa menjalani pemeriksaan kesihatan.
Menurutnya, peningkatan jangka hayat merupakan satu pencapaian besar, namun perkara lebih penting adalah memastikan tahun-tahun tambahan itu dapat dilalui dalam keadaan sihat dan berkualiti.
