Utama

Berita

Luar Negara

Berita

Berita

Sukan

Berita

Berita

Luar Negara

Berita

Berita

Sukan

Berita

Thailand Bersiap Siaga Hadapi Jangkitan Virus Nipah
Bangkok-- Jabatan Kawalan Penyakit (DDC) Thailand mengeluarkan amaran bahawa Thailand kini berada dalam kesiapsiagaan sebarang jangkitan virus Nipah susulan wabak yang dilaporkan di India biarpun negara berkenaan masih belum merekodkan sebarang kes jangkitan, lapor Bangkok Post.
Ketua Pengarah jabatan berkenaan, Dr Montien Kanhaswad berkata, lima kes jangkitan virus tersebut telah disahkan di India, dengan tiga daripadanya dikesan pada awal minggu ini.
"Pihak berkuasa India telah mempercepat pelaksanaan langkah kawalan penyakit. Kuarantin dan pemantauan susulan dikenakan ke atas lebih 180 individu di Bengal Barat, selain pengawasan dipertingkatkan," kata beliau.
Menurut Dr Montien, pelancong yang mengalami demam panas atau menunjukkan gejala disyaki jangkitan virus tersebut di Thailand akan diperiksa di fasiliti kuarantin. Individu berkenaan turut akan menjalani prosedur yang ditetapkan.
"Jangkitan ini menular daripada haiwan kepada manusia dan bersifat sangat serius. Ia boleh menyebabkan gejala neurologi dan kadar kematiannya agak tinggi.
"Individu yang dijangkiti mungkin tidak menunjukkan sebarang gejala atau boleh mengalami jangkitan pernafasan akut serta ensefalitis (keradangan otak) yang membawa maut.
"Pesakit biasanya bermula dengan demam, sakit kepala, sakit otot, muntah dan sakit tekak sebelum mengalami gejala neurologi seperti mengantuk, perubahan tahap kesedaran dan ensefalitis akut.
"Sesetengah kes mungkin mengalami radang paru-paru dan kegagalan pernafasan yang teruk. Kes-kes yang teruk mungkin mengalami sawan dan koma dalam tempoh 24 hingga 48 jam," jelasnya.
Beliau menambah, kebanyakan pesakit yang terselamat daripada ensefalitis akut pulih dengan baik. Namun, kira-kira 20 peratus mengalami kesan neurologi jangka panjang seperti gangguan sawan dan perubahan personaliti.
Sebagai pengetahuan, jangkitan boleh berlaku menerusi beberapa cara. Antaranya melalui sentuhan langsung dengan cecair badan seperti air liur, air kencing, najis dan darah haiwan yang dijangkiti, khususnya kelawar buah dan babi.
Selain itu, penularan juga boleh berlaku melalui pengambilan makanan tercemar, termasuk buah yang telah digigit oleh kelawar, atau nira kelapa yang tercemar dengan air kencing atau najis kelawar.