Tujuh Negeri Diramal Hujan Lebat Petang Ini
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di tujuh negeri sehingga jam 6 petang ini.
Menurut kenyataan itu, beberapa daerah di negeri seperti Perak, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Sarawak dan Sabah diramal hujan.
"Di Perak, daerah yang diramal hujan adalah Larut, Matang Dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim.
"Manakala di Pahang pula melibatkan Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub dan Bentong.
"Bagi Selangor pula, beberapa daerah yang terlibat seperti Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat. Selain itu, Negeri Sembilan hanya di daerah Jelebu.
"Tiga daerah di Johor yang diramal hujan adalah Pontian, Kulai dan Johor Bahru.
"Beralih ke Sarawak, kawasan yang diramal hujan seperti Sarikei (Pakan, Sarikei dan Meradong), Sibu (Selangau), Bintulu dan Miri (Subis).
"Di Sabah pula, kawasan yang terlibat seperti Pantai Barat (Papar dan Ranau), Tawau (Lahad Datu) dan Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan)," maklum kenyataan itu.
Sehubungan itu, penduduk di kawasan yang dinyatakan dinasihatkan supaya berwaspada dengan perubahan cuaca yang mendadak ini dan memastikan keselamatan diri serta keluarga terjamin.
Orang ramai juga dinasihatkan agar mengelakkan aktiviti luar dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini mengenai amaran cuaca daripada pihak METMalaysia melalui saluran rasmi.
Langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi mengurangkan risiko sebarang kejadian tidak diingini akibat cuaca buruk yang diramalkan melanda kawasan-kawasan tersebut.