Utama

Berita

Luar Negara

Berita

Berita

Sukan

Berita

Berita

Luar Negara

Berita

Berita

Sukan

Berita

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku (PKB), Puan Adibah binti Omar, mewakili Malaysia ke Pesta Buku Antarabangsa Taipei 2026 (TIBE), sekali gus mengangkat agenda kerjasama pembacaan serantau ke pentas penerbitan antarabangsa.
Penyertaan beliau merangkumi ucapan utama dalam Forum Penerbitan Antarabangsa TIBE, selain sesi panel bersama pemimpin industri penerbitan global di acara berprestij tersebut.
Edisi ke-34 TIBE yang berlangsung di Taipei World Trade Center merupakan antara pameran buku paling berpengaruh di Asia, menghimpunkan lebih 500 reruai dari 29 negara serta kehadiran lebih 60 penulis antarabangsa. Tema tahun ini, “Reading is Amazing”, menekankan kepentingan pertukaran budaya serta kuasa transformasi yang lahir daripada budaya membaca.
Dalam ucapan bertajuk “Through the Looking Glass: How Reading Cooperation Builds Soft Power in a Fragmented World”, Adibah menegaskan keperluan kerjasama ASEAN dalam bidang pembacaan dan penerbitan bagi memperkukuh kefahaman bersama, diplomasi budaya serta membina ekosistem pembacaan global yang lebih berdaya tahan.
Beliau menggariskan tiga mekanisme utama ke arah kerjasama tersebut, iaitu:
Polisi dan Kepercayaan melalui ASEAN Book Publishers Association
Pasaran dan Peredaran melalui ASEAN Rights Fair
Rakyat dan Imaginasi menerusi festival literasi serantau seperti Ubud Writers & Readers Festival dan George Town Literary Festival
Menurut Adibah, Asia Tenggara memiliki populasi besar serta budaya membaca yang semakin berkembang, namun pembacaan bersama yang merentas bahasa dan pasaran masih belum dimanfaatkan sepenuhnya.
“Apabila kita berkongsi cerita, memperluas peredaran karya dan membuka ruang dialog berasaskan ilmu, kita sebenarnya sedang membina kuasa lunak yang lestari berteraskan kepercayaan, kefahaman dan nilai kemanusiaan,” katanya.
Beliau turut menyentuh cabaran bahasa dan terjemahan yang masih menjadi halangan utama, namun pada masa sama membuka peluang global baharu. Menurutnya, teknologi kecerdasan buatan (AI) perlu dimanfaatkan secara bertanggungjawab bukan untuk menggantikan peranan penterjemah, tetapi bagi memperluas akses dan mengeratkan hubungan antara masyarakat dunia.
Perkara itu dijelaskan menerusi data pembentangan berkaitan penggunaan Baucar Buku MADANI 2024 dan Baucar Buku Guru MADANI 2025, yang memanfaatkan sepenuhnya teknologi digital serta transaksi dalam talian.