Utama

Berita

Luar Negara

Berita

Berita

Sukan

Berita

Berita

Luar Negara

Berita

Berita

Sukan

Berita

Virus Nipah: Fakta, Risiko dan Cara Lindungi Diri
Virus Nipah kembali menjadi perhatian apabila penularan wabak dilaporkan di negeri Bengal Barat, India.
Ianya sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap risiko jangkitan penyakit berbahaya ini di peringkat serantau.
Penyakit berjangkit yang berpotensi membawa maut ini sememangnya tidak boleh dipandang ringan kerana kadar kematiannya yang tinggi.
Selain itu, virus ini juga berupaya merebak daripada haiwan kepada manusia dan seterusnya menular sesama manusia melalui hubungan rapat.
Perkembangan terbaru ini menjadi peringatan jelas bahawa ancaman Virus Nipah masih wujud dan boleh muncul semula pada bila-bila masa.
Susulan situasi tersebut, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa tahap kesiapsiagaan kesihatan awam di semua pintu masuk negara terus beroperasi secara konsisten mengikut protokol sedia ada.
Langkah ini melibatkan pemantauan dan saringan kesihatan pelancong berasaskan penilaian risiko di lapangan terbang antarabangsa, pelabuhan laut serta pintu masuk sempadan darat.
Selain itu, laluan rujukan khusus turut disediakan bagi pelancong yang bergejala atau disyaki menghidap penyakit berjangkit di samping kesiapsiagaan Pasukan Perubatan Kecemasan (EMT) selaras dengan garis panduan penyakit berjangkit yang telah ditetapkan.
Virus Nipah ialah sejenis penyakit zoonotik iaitu jangkitan yang boleh berpindah daripada haiwan kepada manusia.
Virus ini berasal daripada keluarga Paramyxoviridae. Ianya dibawa secara semula jadi oleh kelawar buah daripada genus Pteropus, yang juga dikenali sebagai flying fox.
Walaupun kelawar pembawa virus ini lazimnya tidak menunjukkan sebarang gejala, virus boleh merebak melalui air liur, air kencing atau najis yang mencemari persekitaran dan sumber makanan.
Penyakit ini mampu menjangkiti manusia dan haiwan. Khususnya haiwan ternakan seperti babi yang kemudiannya boleh menjadi perantara penularan kepada manusia.
Apa yang membimbangkan, kadar kematian akibat jangkitan Virus Nipah dianggarkan antara 40 hingga 70 peratus.
Kadar ini menjadikan Virus Nipah antara penyakit berjangkit yang paling berbahaya di rantau ini.
Dalam artikel kali ini, jom kita ketahui segala fakta penting berkaitan Virus Nipah dan bagaimana ia boleh merebak.
Kami juga akan berkongsi maklumat mengenai tanda-tanda jangkitan serta langkah-langkah praktikal untuk melindungi diri daripada penyakit ini.
Virus Nipah pertama kali dikesan pada tahun 1999 di Malaysia dan Singapura ketika berlaku wabak yang melibatkan jangkitan dalam kalangan babi dan manusia.
Dalam kejadian tersebut, virus dipercayai merebak daripada kelawar kepada babi di ladang ternakan sebelum menjangkiti pekerja ladang yang terdedah secara langsung.
Wabak ini bukan sahaja meragut nyawa malah memberi kesan besar kepada industri penternakan negara ketika itu.
Sejak wabak pertama tersebut, beberapa negara lain termasuk Bangladesh, India dan Filipina turut melaporkan kes jangkitan Virus Nipah.
Kelawar pembawa virus ini pula mempunyai taburan yang luas merangkumi Asia, Lautan Pasifik Selatan dan Australia menjadikan risiko kejadian jangkitan baru sentiasa wujud.
Faktor seperti penebangan hutan, perubahan guna tanah dan peningkatan interaksi manusia dengan hidupan liar turut menyumbang kepada peningkatan risiko penularan.
Tempoh inkubasi
Tempoh inkubasi Virus Nipah lazimnya mengambil masa antara empat hingga 14 hari selepas seseorang terdedah kepada virus. Dalam tempoh ini, pesakit mungkin kelihatan sihat sebelum simptom mula muncul secara berperingkat.
Gejala peringkat awal
Demam berpanjangan.
Sakit kepala yang tidak reda dengan rawatan biasa.
Sakit otot (myalgia) yang menyebabkan pesakit berasa lemah dan lesu.
Muntah yang kerap berlaku pada peringkat awal.
Sakit tekak yang sering disalah anggap sebagai jangkitan biasa.
Gejala awal ini menyerupai penyakit biasa seperti selesema atau demam virus. Keadaan ini menjadikan jangkitan Virus Nipah sukar dikenali tanpa pemeriksaan lanjut.
Gejala peringkat teruk
Pening dan mengantuk melampau, menunjukkan sistem saraf terjejas.
Perubahan tahap kesedaran, termasuk kekeliruan atau sukar memberi respons.
Tanda-tanda neurologi lain yang menunjukkan ensefalitis akut.
Pneumonia tidak tipikal dan masalah pernafasan teruk. Ianya termasuk acute respiratory distress (gangguan pernafasan akut).
Dalam kes yang teruk, pesakit boleh mengalami ensefalitis dan sawan. Keadaan ini boleh berkembang dengan cepat dan membawa kepada koma dalam tempoh 24 hingga 48 jam.
Komplikasi jangka panjang
Pembengkakan otak merupakan komplikasi serius yang boleh membawa kepada kematian jika tidak dirawat dengan segera.
Kesan neurologi jangka panjang dilaporkan berlaku pada sesetengah pesakit yang berjaya pulih daripada Virus Nipah. Antaranya termasuk gangguan ingatan, masalah tumpuan dan kelemahan saraf.
Jangkitan daripada haiwan kepada manusia
Sentuhan langsung dengan haiwan yang dijangkiti. Terutamanya kelawar buah dan babi yang merupakan punca utama jangkitan awal dalam kebanyakan wabak yang dilaporkan.
Pengambilan makanan atau minuman yang tercemar. Contohnya, buah-buahan yang telah digigit oleh kelawar atau tercemar dengan air liur kelawar boleh menjadi punca jangkitan. Selain itu, pengambilan air nira mentah yang tercemar juga berisiko menyebabkan virus memasuki tubuh manusia.
Spillover event
Jangkitan awal daripada haiwan kepada manusia ini dikenali sebagai spillover event. Iaitu situasi di mana virus berpindah daripada perumah semula jadi kepada manusia akibat pendedahan secara langsung atau tidak langsung.
Jangkitan daripada manusia kepada manusia
Hubungan rapat dengan pesakit yang dijangkiti terutamanya dalam tempoh simptom aktif yang meningkatkan risiko penularan.
Pendedahan kepada cecair badan. Ianya termasuk air liur, rembesan pernafasan dan darah pesakit yang dikenal pasti sebagai laluan utama jangkitan sesama manusia.
Elakkan punca jangkitan
Mengelakkan sentuhan dengan kelawar atau haiwan ternakan yang menunjukkan tanda-tanda sakit adalah langkah asas yang penting bagi mencegah jangkitan.
Menjauhi kawasan yang menjadi tempat kelawar bertenggek seperti ladang atau kawasan berhampiran pokok buah-buahan dapat mengurangkan risiko pendedahan.
Amalan pemakanan selamat
Mengelakkan pengambilan air nira mentah kerana ia berisiko tercemar dengan virus daripada kelawar.
Tidak memakan buah-buahan yang berkemungkinan tercemar terutamanya buah yang jatuh atau menunjukkan kesan gigitan.
Membasuh atau mengupas buah-buahan dengan sempurna sebelum dimakan bagi mengurangkan risiko jangkitan.
Amalan kebersihan diri
Mencuci tangan dengan sabun secara kerap terutamanya selepas menyentuh haiwan atau berada di tempat awam. Amalan ini dapat membantu untuk menyingkirkan kuman dan virus.
Menjaga kebersihan persekitaran di rumah dan tempat kerja turut memainkan peranan penting dalam mencegah penularan penyakit.
Perlindungan untuk kumpulan berisiko tinggi
Pengamal kesihatan dan penjaga pesakit perlu menggunakan peralatan perlindungan diri yang sesuai ketika merawat pesakit disyaki Nipah.
Pematuhan ketat terhadap garis panduan kawalan jangkitan di fasiliti kesihatan amat penting bagi melindungi petugas dan mencegah penularan selanjutnya.
Individu yang mengalami simptom dan mempunyai sejarah pendedahan di kawasan yang pernah dilaporkan wabak Nipah perlu menjalani ujian makmal bagi tujuan pengesahan.
Ujian boleh dilakukan semasa fasa akut penyakit atau selepas pesakit sembuh.
Setakat ini, tiada rawatan khusus untuk Virus Nipah dan rawatan yang diberikan adalah bersifat sokongan termasuk rehat mencukupi, hidrasi, sokongan pernafasan serta rawatan bagi mengawal simptom dan komplikasi yang timbul.
Secara keseluruhannya, Virus Nipah merupakan ancaman kesihatan awam yang serius dan memerlukan tahap kewaspadaan tinggi daripada semua pihak.
Perkembangan kes di India menjadi peringatan bahawa penyakit ini masih aktif dan berpotensi merebak sekiranya langkah pencegahan diabaikan.
Peningkatan kesedaran masyarakat, pematuhan kepada langkah pencegahan serta pengesanan awal kes jangkitan adalah kunci utama untuk mengawal penularan Virus Nipah dan melindungi keselamatan orang awam.