Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah
Tiada Kategori

Enam Punca Bil Elektrik Naik Gara-Gara Pasang Aircond

suhaila
Bil Elektrik Naik Gara-Gara Aircond? Ini 6 Sebab Utama
Gambar AI

Bil Elektrik Naik Gara-Gara Aircond? Ini 6 Sebab Utama

Bila tiba musim panas terik atau cuaca yang semakin sukar dijangka, penghawa dingin sering menjadi ‘penyelamat’ utama di kebanyakan rumah.

Tidak kira siang atau malam, bunyi desiran sejuk dari aircond bagaikan penawar bagi kita yang tidak sanggup berpanas apatah lagi jika tinggal di kawasan bandar yang panasnya berganda.

Namun di sebalik nikmat bilik yang nyaman dan sejuk bak di hotel, ramai yang terkejut besar apabila melihat bil elektrik melambung tinggi setiap kali sampai ke tangan.

Ramai yang mungkin tertanya-tanya, kenapa penggunaan aircond nampak biasa-biasa sahaja tetapi jumlah yang perlu dibayar setiap bulan boleh buat ‘poket bocor’?

Sebenarnya, ada beberapa sebab tersembunyi yang membuatkan aircond menjadi ‘pemakan tenaga’ nombor satu di rumah tanpa kita sedar.

Jadi sebelum salahkan cuaca atau menyalahkan aircond semata-mata, jom kita semak apa sebenarnya sebab yang buat bil elektrik kita naik melambung dan bagaimana cara paling bijak untuk kawalnya.

1. Kapasiti aircond yang tidak sesuai dengan saiz bilik

Pertama sekali, ramai pengguna masih tidak sedar bahawa kapasiti aircond yang tidak sesuai dengan saiz bilik boleh menjadi punca utama pembaziran elektrik.

Kalau unit aircond yang dipasang mempunyai BTU (British Thermal Unit) terlalu rendah berbanding keluasan bilik, ia terpaksa bekerja tanpa henti untuk menyejukkan ruang.

Keadaan ini membuatkan tenaga digunakan secara berlebihan. Sebaliknya, kalau BTU terlalu besar pula, memang bilik cepat sejuk tetapi unit akan kerap berulang hidup dan mati (on-off) yang turut meningkatkan penggunaan elektrik.

Sebab itulah penting untuk memilih kapasiti BTU yang tepat anda boleh merujuk jadual BTU yang biasanya disediakan oleh pengeluar atau pakar pemasangan.

Ini Adalah 6 Sebab Utama Bil Elektrik Naik Gara-Gara Aircond

2. Jenis aircond yang digunakan

Selain saiz, jenis aircond yang digunakan juga memainkan peranan besar. Masih ramai yang menggunakan aircond jenis bukan inverter sedangkan model ini beroperasi dengan sistem ‘on-off penuh’.

Apabila aircond dihidupkan dalam tempoh yang panjang, ia terpaksa hidup dan mati secara berulang untuk mengekalkan suhu bilik. Proses ini memerlukan lebih banyak tenaga elektrik.

Berbeza dengan aircond inverter yang lebih moden, kompresor dalam aircond inverter akan melaraskan kelajuannya secara automatik mengikut suhu bilik.

Hasilnya, penggunaan tenaga lebih stabil dan boleh menjimatkan sehingga 30% hingga 50% berbanding model biasa.

3. Suhu terlalu rendah

Satu lagi tabiat yang sering menaikkan bil elektrik ialah menetapkan suhu penghawa dingin terlalu rendah. Biasanya antara 16°C hingga 20°C.

Ramai yang beranggapan suhu rendah akan membuatkan bilik cepat sejuk tetapi sebenarnya ia hanya memaksa aircond bekerja lebih kuat dan lebih lama. Ini sudah tentu menggunakan lebih banyak tenaga.

Suhu yang ideal untuk keselesaan dan penjimatan ialah antara 24°C hingga 26°C. Ini adalah cukup untuk memastikan bilik sejuk dan nyaman tetapi pada masa yang sama lebih menjimatkan tenaga.

BACA : Nak Beli Peti Sejuk Baru? Elak Tersilap Dengan 6 Tip Ini

4. Penggunaan sepanjang hari

Selain itu, penggunaan aircond tanpa henti sepanjang hari juga antara faktor utama bil elektrik melambung. Ramai yang membiarkan aircond beroperasi 12 hingga 24 jam sehari tanpa henti terutama jika bekerja atau belajar di rumah.

Untuk lebih bijak, gunakan fungsi ‘timer’. Ia akan menetapkan aircond supaya tertutup secara automatik 1 atau 2 jam selepas anda terlelap.

Jika aircond anda ada mode ‘eco’ atau ‘sleep’, gunakanlah kerana mod ini direka untuk menjimatkan penggunaan tenaga dengan melaras suhu bilik secara automatik.

5. Filter dan cooling oil kotor

Punca lain yang sering diabaikan ialah penapis udara (filter) dan cooling coil yang kotor atau jarang diservis. Bila filter penuh habuk, aliran udara akan tersekat.

Ini memaksa aircond bekerja lebih keras untuk menyejukkan bilik sekali gus menggunakan lebih banyak elektrik. Penapis udara sebaiknya dicuci setiap dua hingga empat minggu.

Cooling coil pula perlu diservis sekurang-kurangnya dua kali setahun bagi memastikan prestasi kekal optimum.

6. Outdoor unit yang kotor

Akhir sekali, ramai yang terlupa bahawa unit luaran (outdoor unit) juga perlu dijaga. Outdoor unit yang kotor boleh mengurangkan kecekapan penyejukan.

Debu dan kotoran yang melekat pada sirip pendingin membuatkan sistem terpaksa bekerja lebih lama dan kuat. Ini akan menyebabkan tenaga digunakan lebih banyak daripada sepatutnya.

Jadi, pastikan unit luaran juga dibersihkan dan diservis setiap enam bulan untuk memastikan ia berfungsi dengan baik.

Langkah mudah ini bukan sahaja membantu menjimatkan elektrik malah dapat memanjangkan jangka hayat penghawa dingin anda.

Kesimpulannya, bil elektrik yang tinggi bukanlah sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Dengan sedikit kesedaran dan langkah penjagaan yang betul, kita boleh menikmati bilik yang sejuk dan nyaman tanpa perlu menangis bila melihat bil setiap hujung bulan.

Mulakan dengan memilih aircond bersesuaian, kawal suhu dengan bijak, manfaatkan fungsi penjimatan dan jangan lupa rutin servis berkala.

Sumber : geehvac, hillsair

BACA : Mesin Basuh Top Load vs Front Load – Mana Satu Sesuai