Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

“Saya berada di sini hari ini untuk memberitahu dunia bahawa saya telah bersara.
“Aksi pada Sabtu itu adalah penamat. Itulah penampilan terakhir saya di dalam gelanggang dan juga untuk segala-galanya.”
Demikian kata legenda gusti profesional, Brock Lesnar, ketika mengumumkan persaraannya secara rasmi pada usia 49 tahun, sekali gus menutup tirai salah satu kerjaya paling gemilang dalam sejarah gusti profesional.
Lesnar membuat pengumuman itu ketika muncul dalam rancangan The Pat McAfee Show pada Selasa, sambil mengesahkan bahawa penampilannya di WWE SummerSlam pada Sabtu lalu merupakan aksi terakhir dalam kariernya.
Menurut Lesnar, beliau sebenarnya sudah merasakan masanya untuk bersara selepas aksi di WrestleMania awal tahun ini apabila menanggalkan but dan sarung tangannya di dalam gelanggang.
Namun, beliau memilih untuk kembali bagi mengharungi satu lagi perlawanan Hell in a Cell yang berlangsung di Minneapolis hujung minggu lalu.
Pengumuman itu sekali gus menamatkan perjalanan karier luar biasa Lesnar yang dikenali sebagai antara atlet paling dominan dalam sejarah gusti profesional.
“Sabtu lalu merupakan hari yang sangat emosional buat saya. Selepas Oba Femi mengalahkan saya di WrestleMania, saya berkata kepada diri sendiri bahawa saya tidak mampu melakukannya lagi dan mungkin sudah tiba masanya untuk berhenti.
"Namun, dunia gusti masih memanggil dan saya merasakan masih ada sedikit lagi yang mampu saya berikan," ujarnya.
Sebelum menyertai WWE, Lesnar muncul juara NCAA Bahagian I bersama Universiti Minnesota pada tahun 2000, selain pernah bergelar dua kali All-American dan dua kali juara Big Ten dalam sukan gusti.
Beliau kemudian menyertai WWE dan mencipta sensasi apabila menewaskan Dwayne “The Rock” Johnson pada 2002 untuk merangkul kejuaraan dunia WWE pertamanya, hanya pada tahun kedua bersama syarikat itu.
Sepanjang kariernya, Lesnar memenangi 10 kejuaraan dunia WWE, dua gelaran Royal Rumble pada 2003 dan 2022, kejohanan King of the Ring pada 2002 serta Money in the Bank pada 2019.
Beliau turut mencipta sejarah di WrestleMania 30 apabila menamatkan rekod kemenangan 21-0 milik The Undertaker, yang dianggap sebagai antara detik paling mengejutkan dalam sejarah WWE.
Pada 2004, Lesnar meninggalkan dunia gusti buat sementara waktu bagi mencuba nasib dalam Liga Bola Sepak Kebangsaan (NFL) bersama Minnesota Vikings, namun dilepaskan sebelum musim bermula.
Beliau kemudian beralih ke arena seni bela diri campuran (MMA) pada 2007 dan muncul juara heavyweight UFC selepas menewaskan Randy Couture dalam pertarungan keempatnya pada 2008.
Lesnar mengumumkan persaraan daripada MMA pada 2015 sebelum kembali untuk satu pertarungan terakhir menentang Mark Hunt di UFC 200 pada 2016.
Bagaimanapun, beliau kemudiannya digantung oleh Suruhanjaya Olahraga Negeri Nevada selepas didapati positif menggunakan bahan terlarang menjelang pertarungan tersebut dan tidak lagi kembali beraksi dalam MMA.
Dalam pada itu, Lesnar melahirkan rasa syukur atas perjalanan hidup dan kerjayanya serta berharap kisahnya dapat menjadi inspirasi kepada generasi muda.
“Saya hanyalah seorang budak ladang dari South Dakota yang mempunyai impian besar dan semangat yang tinggi.
“Saya bersyukur kerana pada usia 49 tahun, saya berpeluang melakukan apa yang saya impikan sepanjang hidup ini. Terima kasih kepada Tuhan dan semua yang sentiasa menyokong saya.
“Kepada anak-anak muda, saya juga pernah bermula sebagai budak kampung yang tidak mempunyai apa-apa selain impian. Teruskan bekerja keras dan jangan mudah berputus asa.
“Ramai hanya melihat kejayaan atlet di media sosial, tetapi tidak melihat usaha dan pengorbanan di sebaliknya. Jika anda terus berusaha dan memberikan komitmen sepenuhnya, perkara baik pasti akan menyusul,” katanya.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan