Bagi wanita yang bakal melahirkan anak, ada yang lebih selesa jika proses bersalin dibantu oleh doktor perempuan atas beberapa faktor tertentu.
Situasi ini mungkin menimbulkan persoalan sama ada bakal ibu boleh membuat permintaan untuk mendapatkan khidmat doktor wanita ketika bersalin.
Jawapannya, permintaan tersebut boleh dibuat, namun ia tidak semestinya dapat dipenuhi setiap masa bergantung pada keadaan dan ketersediaan doktor ketika itu.
Dalam satu perkongsian dari Public Health Malaysia (PHM), sesetengah wanita lebih suka jika diperiksa atau dibantu ketika bersalin oleh doktor wanita.
Pilihan ini mungkin dipengaruhi oleh pelbagai faktor, termasuk agama, budaya, pengalaman lalu, trauma atau sekadar pilihan peribadi.
Minta Doktor Wanita Bantu Sambut Bayi Ketika Bersalin

“Permintaan itu wajar disuarakan. Tapi ada satu realiti dalam perkhidmatan kesihatan yang perlu difahami,” tulis PHM.
Menurut PHM, doktor yang merawat seseorang itu bergantung kepada siapa yang bertugas, kepakaran yang diperlukan, tahap kecemasan dan tenaga kerja yang tersedia pada waktu tersebut.
Dalam situasi tertentu, hospital mungkin dapat mempertimbangkan permintaan untuk doktor wanita namun apabila berlaku kecemasan, pilihannya boleh menjadi sangat terhad.
Sebagai contoh, jika ibu mengalami pendarahan teruk, bayi menunjukkan tanda distress atau berlaku komplikasi yang memerlukan tindakan segera, rawatan tidak sepatutnya tertanggung semata-mata untuk menunggu doktor mengikut jantina.
Pada ketika itu, keutamaan semua individu di hospital adalah untuk menyelamatkan ibu dan juga bayi, namun ini tidak bermaksud soal maruah dan privasi diketepikan.
Pesakit tetap berhak diberikan penerangan tentang pemeriksaan atau prosedur yang hendak dilakukan, privasi perlu dijaga dan pemeriksaan intim perlu dilaksanakan secara profesional dengan persetujuan yang sewajarnya serta pengiring mengikut keadaan dan polisi fasiliti.
Sebab itu, jika seseorang itu mempunyai keutamaan tertentu, maklumkan kepada pasukan kesihatan dengan lebih awal supaya mereka boleh mempertimbangkan keadaan klinikal dan tenaga kerja yang mengizinkan.
Cumanya, sebagai pesakit, anda juga perlu memahami bahawa dalam kecemasan, anda tidak dapat memilih siapa doktor yang bertugas.
Tetapi doktor yang berada di hadapan anda ketika itu mungkin merupakan orang yang mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk memastikan ibu dan bayi selamat.

