Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Boleh Buat Sendiri, Ini Cara Mudah Buat Kiub Pati Ayam
Tidak dinafikan, kiub pati ayam sudah menjadi bahan asas yang hampir setiap rumah gunakan dalam memasak.
Dari sup, masakan tumis, hingga hidangan berkuah, ia memang membuat rasa masakan menjadi lebih sedap.
Walaupun ianya mudah untuk didapati di pasar raya terdekat, penggunaan yang kerap boleh meningkatkan perbelanjaan.
Justeru, hari ini SK ingin kongsikan cara membuat kiub pati ayam di rumah agar lebih jimat.
Untuk makluman, perkongsian ini diambil daripada pengguna @the_ff_series di Threads.

Untuk menyediakan kiub pati ayam ini, bahan-bahannya terdiri daripada beberapa jenis rempah seperti lada hitam, daun salam dan cengkih.
Wanita berkenaan turut menggunakan beberapa jenis tumbuhan herba yang telah disejuk beku terlebih dahulu.
Menurutnya, herba yang digunakan termasuk taim, daun rosemary, daun ketumbar, daun selasih dan daun pasli.
Selain itu, anda memerlukan minyak lemak ayam yang diperoleh daripada menggoreng kulit ayam.
Di samping itu, anda juga perlu menyediakan bahan utama lain termasuk 80 hingga 90 gram garam kasar, air dan 1 kilogram isi ayam.
Seterusnya, campuran sayur seperti lobak, saderi, bawang putih, dan bawang besar turut dimasukkan.

Mula-mula, @the_ff_series dalam hantarannya menyediakan minyak ayam yang diperoleh daripada kulit ayam.
Menurutnya, kulit ayam dimasak sehingga ia mengeluarkan minyak.
Seterusnya, kisar satu kilogram isi ayam, saderi bawang besar, bawang putih, lobak merah, taim, daun rosemary, daun ketumbar dan selasih.
Dalam sebuah mangkuk, masukkan bahan yang telah dikisar tadi dan gaulkan bersama minyak ayam, 80 hingga 90 gram garam kasar, 100ml air, lada hitam, daun salam dan cengkih.

Kemudian, masak semua bahan sehingga air kering. Setelah itu, tunggu ianya sejuk seketika sebelum dikisar halus.
Apabila semua bahan telah dikisar, masukkan ke dalam loyang yang dialas plastik lalu tekan sehingga rata dan masukkan ke dalam peti sejuk beku semalaman.
Setelah dibekukan semalaman, potong dan simpan dalam bekas atau bungkus dengan kerajang aluminium.

Selain itu, @the_ff_series turut berkongsi cara penggunaan kiub pati ayam dengan memasukkannya terus ke dalam masakan atau melarutkannya dengan air panas terlebih dahulu.
Akhir sekali, dia juga menyarankan agar menyimpan kiub pati ayam di dalam peti sejuk beku untuk tahan lebih lama.
