Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Bolehkah Pakai Selipar Ketika Lakukan Ibadah Saie? Ini Penjelasan Pengarah Operasi Bimbingan Haji

Athirah
saie
Kredit: @thesiakapkeli

Bolehkah Pakai Selipar Ketika Lakukan Ibadah Saie? Ini Penjelasan Pengarah Operasi Bimbingan Haji

Ibadah Saie adalah salah satu rukun haji dan umrah yang merujuk kepada perbuatan berjalan ulang-alik atau berlari-lari anak di antara Bukit Safa dan Bukit Marwah sebanyak tujuh kali.

Oleh itu, bagi individu yang bakal melakukan ibadah haji atau umrah ini, amat penting buat anda ketahui cara melakukan ibadah Saie ini, agar ibadah haji anda mabrur dan diterima Allah S.W.T

Namun begitu, isu pemakaian selipar ketika menunaikan ibadah Saie sering menjadi persoalan dalam kalangan jemaah haji dan umrah.

Justeru, timbul kekeliruan sama ada pemakaian selipar dibenarkan atau sebaliknya ketika melaksanakan ibadah ini.

Bolehkah pakai selipar ketika lakukan ibadah Saie?

Pengarah Operasi Bimbingan Haji, Ustaz Shahrin Bin Haji Awaluddin berkata hukum memakai selipar ketika Saie adalah dibolehkan di Masjidil Haram.

Bagi jemaah yang memiliki masalah kaki atau tidak mampu bertahan berjalan jauh tanpa memakai selipar, perkara ini sebenarnya tidak menjadi halangan dari segi syarak ketika melakukan ibadah Saie

Namun begitu, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian.

Antaranya, selipar yang dipakai mestilah bersih serta bebas daripada najis. Ini penting bagi menjaga kesucian ibadah yang dilakukan di kawasan suci.

"Sekiranya ingin mengambil pendekatan yang lebih afdal sebagai tanda menghormati rumah Allah SWT, dan jemaah tersebut mampu untuk tidak memakai selipar, maka dia digalakkan berjalan tanpa memakainya," ujar beliau.

Penjelasan Ustaz Shahrin mengenai pemakaian kasut ketika Saie

Tambah beliau, terdapat juga garis panduan khusus berkaitan pemakaian ketika berada dalam keadaan ihram.

Bagi jemaah lelaki yang berihram, mereka tidak dibenarkan menutup jari kaki dengan kasut yang menutupi keseluruhan bahagian kaki.

Walau bagaimanapun, jemaah masih dibenarkan memakai selipar biasa yang terbuka di bahagian hadapan dan tumit, iaitu yang menampakkan jari kaki.

Menurut Ustaz Shahrin, selipar yang digunakan ketika saie tidak semestinya selipar yang baru dibeli.

Apa yang lebih penting ialah keadaan selipar tersebut berada dalam keadaan bersih dan sesuai untuk digunakan dalam ibadah.

Oleh itu, setiap jemaah perlu mengambil berat aspek kebersihan ketika melaksanakan ibadah Saie antara Bukit Safa dan Bukit Marwah.