Pelawak antarabangsa dan bekas hos program popular The Daily Show, Trevor Noah bakal mengadakan persembahan sulungnya di Malaysia pada 9 November depan.
Persembahan yang dijadualkan berlangsung pada jam 8 malam itu akan diadakan di Idea Live Arena sebagai sebahagian daripada jelajah Asia 2026 beliau.
Trevor Noah Bakal Tampil Di Malaysia

Noah terkenal sebagai pengacara The Daily Show di Comedy Central yang memenangi Anugerah Emmy, selain pernah mengendalikan Anugerah Grammy selama enam tahun berturut-turut.
Beliau juga pernah menulis, menerbitkan dan membintangi 12 rancangan komedi khas, manakala jelajah komedinya, Off The Record, berjaya terjual habis di seluruh dunia.
Selain Malaysia, Noah turut dijadualkan mengadakan persembahan di Singapura sebagai sebahagian daripada siri persembahannya di Asia.
Noah dijangka tampil dengan gaya komedi tersendiri, menggabungkan kisah peribadi bersama pemerhatiannya terhadap kehidupan dan dunia.
Tiket bagi persembahan Trevor Noah Asia Tour 2026 akan mula dijual pada 11 September ini, dengan harga berbeza mengikut kategori tempat duduk.
Sebanyak enam kategori tempat duduk ditawarkan iaitu VIP (RM528), CAT 1 (RM428), CAT 2 (RM328), CAT 3 (RM328), CAT 4 (RM228) dan CAT 5 (RM208).

Selain aktif dalam bidang komedi, beliau turut menubuhkan Trevor Noah Foundation bagi memperluas akses kepada pendidikan berkualiti untuk golongan belia di Afrika Selatan yang kurang mendapat peluang.
Kini, Noah mengendalikan podcast SiriusXM berjudul What Now? With Trevor Noah dan menerajui syarikat produksinya, Day Zero Productions.

