Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Perwatakan dan cara pelajar berinteraksi dengan guru sering berbeza mengikut latar belakang, pencapaian akademik serta suasana pembelajaran mereka di sekolah.
Bagi golongan pendidik, pengalaman mengendalikan pelajar dari kelas cemerlang mahupun kelas biasa pastinya meninggalkan pelbagai kisah dan pengajaran tersendiri.
Baru-baru ini, seorang guru wanita berkongsi pandangannya menerusi platform Threads mengenai pengalaman mengajar pelajar kelas hadapan, kelas belakang serta menjalankan tugas sebagai guru disiplin.
Menurut pengguna Threads, amalhay4ti, berdasarkan pengalamannya, pelajar daripada kelas belakang termasuk yang mempunyai rekod disiplin dilihat lebih cenderung menghargai dan ‘meraikan’ guru mereka.
“Saya simpulkan, murid kelas belakang termasuk yang ada kes disiplin lebih cenderung meraikan kita sebagai guru.
“Jumpa di mana-mana walaupun mereka dah habis sekolah, tetaplah tegur cikgu. Dari jauh pun sanggup kejar atau panggil cikgu.
“Kalau di sekolah pula, merekalah yang paling sukarela untuk bantu cikgu dalam apa jua keadaan,” tulisnya.
Perkongsian itu nyata menarik perhatian ramai dan turut dipersetujui oleh sebahagian warga maya termasuk rakan-rakan guru yang mengakui mempunyai pengalaman hampir sama.
“Betul sangat. Saya dulu selalu mengajar kelas belakang, tapi anak-anak ini ikhlas, dahagakan ilmu dan paling penting sangat beradab.
“Sampai sekarang saya tak berani lalu depan bekas anak murid berniaga di pasar malam. Mesti dia kejar bagi bungkusan makanan.
“Lain pula kelas budak pandai, lalu sebelah pun kadang-kadang tak kenal,” kongsi beberapa netizen.
Bagaimanapun, ada juga segelintir pengguna media sosial yang memberikan pandangan berbeza dengan menyifatkan keadaan itu mungkin dipengaruhi faktor jarak dan tempat tinggal bekas pelajar.
“Ironinya, budak kelas depan selalunya sambung belajar atau bekerja jauh, manakala pelajar kelas belakang ramai yang masih tinggal di kampung.
“Jadi kalau nak cakap bab meraikan, masih lagi jumpa tak dengan budak kelas depan? Berapa kerap?” soal seorang pengguna.
Tidak mahu kenyataannya disalah tafsir, guru berkenaan kemudian tampil menjelaskan bahawa perkongsiannya itu bukan untuk menyamaratakan semua pelajar atau membandingkan kejayaan mereka.
Katanya, apa yang dikongsikan hanya merujuk kepada segelintir pelajar yang masih bersekolah, baru tamat persekolahan atau sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Maaf ya bagi yang salah faham. Saya tak fokus kepada bekas murid yang dah belajar jauh, bekerja atau berpangkat tinggi.
“Saya tak pukul rata semua murid. Hanya segelintir memang ada begitu.
“Bagi yang dah berjaya, belajar tinggi dan hebat, janganlah rasa terasa. Saya tak maksudkan apa-apa,” jelasnya lagi.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa sebagai seorang guru, semua anak didiknya sentiasa didoakan agar berjaya dalam kehidupan mengikut jalan masing-masing.
Menurutnya, pelajar yang cemerlang akademik didoakan terus melakar kejayaan, manakala mereka yang kurang menyerlah pula diharap berjaya dalam bidang yang diceburi.
“Sesungguhnya rezeki Allah itu luas. Akademik semata-mata bukan penentu segalanya.
“Yang paling utama ialah menjadi insan yang berakhlak baik, beradab sopan, rajin berusaha dan patuh kepada ajaran-Nya,” katanya.