Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Bukan Sekadar Hantar Makanan, Rider Ini Buat 'Extra Mile' Hingga Raih Perhatian Netizen

RIDER
Tangkap layar video Threads/ @filzahfyfy

Bukan Sekadar Hantar Makanan, Rider Ini Buat 'Extra Mile' Hingga Raih Perhatian Netizen

Bukan sekadar menghantar pesanan makanan, seorang penghantar makanan mencuri perhatian ramai apabila sempat melakukan satu perkara kecil yang disifatkan sebagai penuh nilai murni ketika menghantar pesanan kepada pelanggan.

Menerusi satu hantaran di Threads semalam, pengguna dikenali sebagai @filzahfyfy berkongsi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan gelagat seorang penghantar makanan Foodpanda ketika menghantar pesanan ke rumahnya.

Dalam video yang dikongsikan, kelihatan rider terbabit tiba di kediaman berkenaan sebelum meletakkan bungkusan makanan di atas rak yang disediakan.

Namun, apa yang mencuri perhatian ialah tindakannya menyusun beberapa pasang kasut yang berada berhampiran rak tersebut sebelum beredar meninggalkan rumah.

Difahamkan, insiden itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 7.28 malam pada 6 Julai lalu.

“Mak loveee dgn rider KFC SERDANG nii nape rajin sgttttt. Done ngadu kat boss dia Yatie Alif,” katanya menerusi hantaran tersebut.

Perkongsian itu pantas menarik perhatian warga maya yang rata-ratanya memuji sikap prihatin penghantar makanan berkenaan walaupun perkara itu bukan sebahagian daripada tugasnya.

Seorang pengguna, @wansu_unu, berkata tindakan rider itu bukan sahaja memperoleh bayaran daripada pelanggan, malah turut meraih ganjaran atas kebaikannya.

“Dpt RM sebab COD. Dpt pahala sebab OCD,” katanya berseloroh.

Sementara itu, seorang lagi pengguna, @nuyulssss08_, berpendapat rider berkenaan mungkin tidak selesa melihat keadaan kasut yang berselerak.

“Jenis mata gatal tengok benda sepah ni. Bagusnya,” ujarnya.

Dalam pada itu, pengguna @_farhanghaffar yang mengakui pernah bekerja sebagai penghantar makanan berkata dia juga sering menganggap rumah pelanggan seperti rumah sendiri ketika menghantar pesanan.

“Sebab tu nak kerja delivery sebab bila customer kata, 'Dik letak depan tu je', aku buat macam family aku je siak,” jelasnya.

Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi positif daripada warga maya yang menyifatkan tindakan kecil seperti itu mampu menceriakan hari pelanggan dan menjadi contoh bahawa nilai ihsan boleh dizahirkan walaupun melalui tugas harian yang sederhana.