Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Bukan Sekadar Selera, Ini 5 Sebab Badan Anda ‘Minta’ Makanan Pedas
Makanan pedas sememangnya ada tempat yang istimewa dalam hati orang ramai. Rasanya yang menyengat, aroma yang menggoda dan sensasi hangat yang ditinggalkan di lidah menjadikan hidangan pedas sukar untuk ditolak.
Walau berpeluh, berair mata, dan lidah terasa terbakar, ramai tetap menikmatinya dengan penuh selera. Dari sambal, tomyam, mi kari hingga ayam goreng berempah, rasa pedas seolah-olah mampu menaikkan mood dan menjadikan sesuatu hidangan lebih menarik.
Bagi sesetengah orang, makanan pedas sudah menjadi satu keperluan dalam setiap hidangan. Ada yang rasa tidak lengkap kalau makan tanpa cili atau sambal.
Namun, bukan semua orang boleh tahan dengan rasa pedas. Ada yang akan mengelak terus bila nampak cili.
Menariknya, rasa teringin makan pedas bukan hanya dialami oleh mereka yang memang gemar dengan makanan pedas. Kadang-kadang, orang yang tidak biasa juga boleh tiba-tiba rasa teringin untuk makan benda pedas.
Perkara ini menimbulkan persoalan dalam kalangan ramai tentang mengapa ada masa tertentu, kita tiba-tiba teringin untuk makan makanan pedas.
Justeru, hari ini SK akan kongsikan beberapa sebab yang menjelaskan kenapa keinginan itu boleh muncul secara tiba-tiba.
1. Hormon anda
Menurut portal Parade, keinginan terhadap sesuatu makanan adalah disebabkan cara tubuh kita memberi isyarat bahawa ada sesuatu yang sedang berlaku atau keinginan tertentu yang cuba dipenuhi.
“Keinginan terhadap makanan boleh menjadi tanda apa yang tubuh kita kekurangan atau perlukan,” jelas pakar diet berdaftar dari Plant-Powered Kidneys, Jennifer Hernandez.
“Kita perlu beri perhatian kepada perkara ini dan periksa sama ada ada sesuatu yang kurang, tapi ini tidak bermaksud setiap keinginan perlu terus dipenuhi. Kita sepatutnya menilai rasa itu dahulu dan pastikan tubuh kita mendapat apa yang benar-benar diperlukan,” tambahnya lagi.
Kajian pada tahun 2016 mendapati 3.3% wanita hamil yang mengalami rasa mengidam memilih makanan pedas seperti cili atau kari.
Namun begitu, keinginan ini bukan hanya berlaku semasa hamil. Hormon seperti leptin dan serotonin juga boleh mempengaruhi keinginan terhadap makanan pedas pada individu lain.
Menurut pakar diet berdaftar Dietitian Insights, Kelsey Costa, rasa ingin makan pedas semasa hamil adalah perkara biasa dan boleh berpunca daripada perubahan hormon atau keinginan terhadap rasa yang lebih kuat.
Tambahnya, ibu mengandung perlu memantau jumlah makanan pedas bagi mengelakkan masalah pencernaan walaupun tidak berbahaya.
2. Anda sedang tidak sihat
Selain itu, jika badan terasa lemah atau tidak sihat, anda mungkin tiba-tiba mengidam makanan pedas.
Menurut pakar pemakanan dari Cleveland Clinic, Julia Zumpano, makanan pedas boleh membantu melegakan hidung tersumbat dan meningkatkan suhu badan, terutama jika anda mengalami kesejukan akibat demam atau jangkitan.
Kelsey Costa pula menjelaskan bahawa kandungan capsaicin dalam makanan pedas bertindak sebagai dekongestan semula jadi yang boleh membantu mengurangkan simptom hidung tersumbat atau masalah nonallergic rhintis.
Namun, rasa ingin makan pedas bukanlah penawar sebenar untuk selesema. Costa menasihatkan supaya makanan pedas dijadikan sebahagian daripada usaha pemulihan keseluruhan, bukan satu-satunya cara rawatan.
Dalam pada itu, badan juga perlu mendapat cukup air dan nutrisi seimbang untuk sembuh dengan lebih cepat.
3. Badan anda terlalu panas
Apabila cuaca panas atau badan terasa hangat, keinginan untuk makan makanan pedas mungkin sebenarnya isyarat daripada tubuh anda sendiri, menurut portal Parade.
Menurut pakar diet berdaftar, Jennifer Hernanedz, capsaicin yang terdapat dalam makanan pedas boleh membantu mengawal suhu badan.
Malah, kajian pada tahun 2015 menunjukkan bahawa capsaicin mampu mencetuskan tindak balas semula jadi tubuh untuk menyejukkan diri.
Kelsey Costa turut menjelaskan bahawa makanan pedas boleh menyebabkan seseorang berpeluh, dan peluh itulah yang membantu menyejukkan badan.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan agar memastikan tubuh kekal terhidrat, terutama jika makan makanan pedas dalam keadaan cuaca panas.
4. Faktor emosi atau mental
Adakalanya, keinginan untuk makan pedas sebenarnya mempunyai kaitan rapat dengan keadaan emosi seseorang.
Menurut pakar diet Julia Zumpano, apabila seseorang berasa sedih atau cemas, mereka cenderung mencari makanan yang memberi kelegaan segera.
Capsaicin dalam makanan pedas boleh merangsang pengeluaran endorfin, iaitu hormon yang membuatkan kita berasa lebih tenang,
Namun, makanan bukanlah penyelesaian sebenar. Sebaiknya, urus emosi dengan cara lain seperti bernafas dalam-dalam, mandi air panas, berbual dengan rakan atau keluar berjalan.
5. Terbiasa dengan makanan pedas sejak kecil
Hasil kajian daripada pakar diet, Trista Best mendapati bahawa jika seseorang membesar dalam persekitaran atau budaya yang gemar makanan pedas, mereka cenderung untuk terus menyukai dan mengidam rasa tersebut walaupun sudah dewasa.
Tidak salah untuk menikmati makanan pedas, namun penting juga untuk memastikan diet harian kekal seimbang.
Di samping itu, pakar diet turut menasihatkan agar tidak terlalu bergantung pada satu jenis masakan sahaja kerana ia boleh menyebabkan kekurangan nutrisi.
Sebaiknya, cuba pelbagai jenis hidangan daripada budaya lain supaya tubuh mendapat semua nutrien yang diperlukan.
BACA: Pakar Dedah 5 Tabiat Harian Yang Boleh Rosakkan Otak Manusia
Sumber: Parade