Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

"Baru nak mulakan kerjaya, namun terhenti di pintu temu duga."
Itulah luahan seorang pengguna Threads selepas mendakwa permohonannya untuk bekerja ditolak dipercayai disebabkan rekod CTOS, sekali gus mencetuskan perbincangan dalam kalangan warga maya mengenai sejauh mana semakan latar belakang kewangan mempengaruhi peluang pekerjaan.

Menerusi satu hantaran di Threads, pengguna yang dikenali sebagai @but.terelfly berkata dia pertama kali berdepan situasi tersebut dan ingin mendapatkan penjelasan daripada orang ramai.
“First time kena reject dengan company sebab CTOS. Anyone boleh explain tak memang kalau ada CTOS tak boleh kerja ya?” katanya.
Hantaran itu kemudian menerima pelbagai pandangan daripada netizen, termasuk mereka yang berkongsi pengalaman bekerja dalam syarikat yang menjalankan semakan rekod kewangan terhadap bakal pekerja.
Seorang pengguna, @kopiandmuffin, berkata terdapat syarikat, khususnya dalam industri minyak dan gas, yang menjalankan semakan menyeluruh termasuk rekod kewangan dan latar belakang calon.
“Some oil and gas company pun akan check full macam ni. Daripada rekod polis sampai kewangan. Bos pernah cerita ada kawan dia tak dapat tawaran kerja sebab saman kereta. Alasannya, kalau saman kereta pun tak bayar, macam mana pula sikap ketika bekerja,” ujarnya.
Seorang lagi pengguna, @ija.ellyza, berkata semakan CTOS lazimnya dibuat bagi jawatan yang melibatkan pengurusan kewangan atau institusi kewangan.
“Sama ada syarikat itu institusi kewangan atau jawatan banyak berkait dengan kewangan, memang akan ada semakan. Sebab risau ada unsur terdesak, jual maklumat syarikat atau berlaku penyelewengan dana,” katanya.
Dalam pada itu, @anugerafinance berpandangan tidak semua syarikat akan terus menolak calon yang mempunyai rekod CTOS, sebaliknya ada yang memberi peluang untuk menyelesaikan isu tersebut terlebih dahulu.
Menurutnya, sesetengah majikan akan berbincang dengan calon sekiranya mereka benar-benar berminat untuk mengambil individu berkenaan bekerja.
“Kalau syarikat itu memang mahukan anda, mereka akan berbincang dengan baik. Malah jika rekod CTOS itu tidak besar, ada syarikat yang menawarkan bantuan untuk menyelesaikannya melalui potongan gaji. Semuanya bergantung kepada bagaimana pihak HR menilai calon dan sejauh mana mereka mahukan anda,” jelasnya.
Sementara itu, pemilik hantaran berkenaan turut menjelaskan bahawa dia sekadar ingin memahami risiko yang dinilai oleh majikan terhadap individu yang mempunyai rekod CTOS, bukannya membuat andaian bahawa semua yang mempunyai hutang adalah tidak bertanggungjawab.
“Saya cuma bertanya mengenai risiko mengambil pekerja yang mempunyai rekod CTOS, bukan menghukum sesiapa. Ada juga individu yang berdepan masalah hutang kerana nama mereka disalahgunakan atau menjadi mangsa keadaan. Jadi saya anggap mungkin belum ada rezeki,” katanya.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi positif daripada pengguna media sosial yang berpandangan setiap syarikat mempunyai polisi pengambilan pekerja tersendiri, selain mengingatkan orang ramai supaya sentiasa menjaga rekod kewangan kerana ia berpotensi menjadi antara faktor yang dinilai oleh majikan bagi jawatan tertentu.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan