Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Buta Selepas Kemalangan, Masitah Belajar Erti Kebahagian Sebenar

Masitah Belajar
Kredit: Bernama

Buta Selepas Kemalangan, Masitah Belajar Erti Kebahagian Sebenar

JOHOR BAHRU, 26 Julai (Bernama) -- Dalam kalangan komuniti perniagaan, khususnya di negeri ini, Masitah Mohd Afandy bukan nama asing, kerana kejayaannya membina perniagaan berkaitan penyaman udara menjadikan beliau sumber inspirasi buat ramai orang muda.

Namun, namanya kian gah selepas hilang penglihatan akibat nahas jalan raya lebih tiga tahun lalu, dan usahawan berusia 35 tahun ini menjadikan tragedi itu sebagai loncatan untuk terus mara, bukan hanya dalam perniagaan tetapi juga dari segi khidmat sosial.

“Allah ambil mata saya, tetapi Allah bagi banyak lagi perkara yang saya tak pernah nampak sebelum ini,” kongsinya ketika ditemui Bernama.

Lebih mesra dipanggil Mashy, anak jati Johor yang kini lebih dikenali sebagai penceramah motivasi, mengakui sebelum tragedi itu dirinya “obses” dengan kerja.

“Sebelum kejadian itu, hidup saya dihabiskan untuk bekerja. Dalam setahun ada 365 hari, mungkin 360 hari saya habiskan di pejabat. Masuk kerja pada 7.30 pagi dan hanya balik lewat malam,” kata Ketua Pegawai Eksekutif NM Aircond Sdn Bhd ini lagi.

Rutin itu berubah selepas 21 Mac 2023, apabila beliau terlibat dalam kemalangan jalan raya yang turut meragut nyawa seorang pekerjanya.

Masitah bersama-sama dengan tiga kakitangannya dalam perjalanan pulang dari Sabak Bernam, Selangor selepas menghadiri sebuah program di kolej komuniti, apabila kereta dipandu pekerjanya hilang kawalan dan merempuh bahagian belakang sebuah lori di lorong paling kiri Lebuhraya Utara-Selatan, berhampiran Ayer Keroh, Melaka.

“Pemandu dan penumpang di tempat duduk belakangnya tidak mengalami sebarang kecederaan, tetapi saya yang duduk di sebelah pemandu cedera teruk, terutama di bahagian kanan tubuh termasuk muka,” katanya, menambah pekerjanya yang duduk di belakang beliau meninggal dunia di hospital sehari selepas kejadian akibat kecederaan parah kerana tersepit.

Menurutnya, di sebalik kecederaan parah yang dialaminya, beliau berada dalam keadaan sedar termasuk ketika disorong ke unit kecemasan Hospital Jasin sebelum dipindahkan ke Hospital Melaka.

“Saya dalam keadaan sedar pada sepanjang masa dan tak rasa sakit kecuali di bahagian kaki, walhal tengkorak saya retak. Mata kanan saya terbenam ke dalam soket,” katanya, menambah beliau menjalani pembedahan bahagian kepala dan kaki yang menyaksikan sembilan keping plat besi dipasang pada bahagian muka, selain besi di paha kanan.

Ditanya tentang penglihatannya, Masitah berkata beliau dapat merasai ada sesuatu yang tidak kena apabila pandangannya gelap sejurus selepas kemalangan berlaku.

“Saya dengar semua tapi tak nampak apa-apa. Semasa di hospital, apabila saya tanya suami, dia kata doktor maklumkan daya penglihatan saya semakin merosot dan saya mungkin akan buta.

“Reaksi saya ketika itu cuma ‘Oh, okey’,” katanya, menambah responsnya membuatkan ada dalam kalangan ahli keluarga serta rakan-rakannya terkejut dan menganggap beliau “tidak normal”.

Reda dengan kehendak Illahi, Masitah berkata sepanjang 24 hari dirawat, beliau tidak berasa sedih atau kesal, sebaliknya lebih banyak menenangkan keluarga dan rakan-rakan yang berasa sedih atas nasib menimpa dirinya.

“Saya tidak suka melihat orang menangis kerana saya, jadi saya yang pujuk mereka,” ujarnya.

Berkongsi lanjut, anak sulung daripada empat beradik itu berkata tempoh sukar baginya bermula selepas dibenarkan keluar dari hospital kerana beliau perlu beradaptasi dengan dunia yang gelap dalam keadaan berkerusi roda.

“Cabaran sebenar ialah proses saya menyesuaikan diri dengan dunia baharu itu. Di peringkat awal, saya kerap mengalami pening seakan-akan mabuk laut, berasa seperti terapung, tidak tahu di mana kedudukan lantai. Apabila orang tolak kerusi roda, saya tidak tahu dia tolak atau dia tarik kerusi roda itu,” katanya yang terpaksa bergantung pada kerusi roda selama lapan bulan akibat patah tulang paha.

Keadaan itu berlarutan hampir empat bulan sebelum beliau perlahan-lahan belajar memahami pergerakan dan menguruskan diri sendiri, daripada mandi, mengenakan pakaian dan tudung hinggalah bersolek, semuanya dipelajari semula satu demi satu.

“Tak mudah, tapi tak mustahil. Semua perlukan proses dan kesabaran,” katanya, menambah pengalaman itu beliau kongsikan di media sosial sebagai motivasi untuk diri sendiri dan juga orang lain, satu tindakan yang turut mengangkat namanya sebagai ikon inspirasi.

Namun kata Masitah, detik yang benar-benar menyentuh hatinya ialah pengalaman mengerjakan umrah kira-kira lapan bulan selepas kemalangan, iaitu pada November 2023, apabila beliau dapat berjalan dan menyentuh Kaabah.

“Saya beritahu suami dan mutawif yang saya nak sentuh Kaabah, kerana saya dah tidak boleh melihat. Mereka ragu-ragu kerana ketika itu saya masih berkerusi roda dan tidak mampu berjalan dengan baik. Namun, dengan izin Allah, saya mula dapat berjalan di sana dan dapat peluk (dekatkan diri pada) Kaabah,” katanya sebak, dan menambah hari itu menjadi titik perubahan dalam hidupnya.

Kini, Masitah menjalani kehidupannya seperti biasa, menerajui syarikat yang dibina bersama-sama dengan suami Nik Nazri Abidin sejak 2014 dengan sasaran mengembangkan perniagaan itu dalam konsep francais di seluruh negara.

Katanya, kemalangan itu mengajarnya makna kebahagiaan.

“Apabila kita melihat ujian sebagai ‘hadiah’ daripada Allah, maka kita akan lebih tenang dan mampu ‘enjoy’ untuk mengupas satu demi satu hikmah yang Allah berikan dalam kehidupan kita.

“Kita perlu berlapang dada, menerima dengan reda dan sentiasa bersangka baik pada-Nya. Jika kita anggap ujian itu berat, maka beratlah ia dalam hati kita,” ujarnya menutup bicara.


Sumber:Bernama