Beberapa cadangan pembangunan di Putrajaya, termasuk pembinaan kompleks sukan baharu, kompleks kejiranan, penambahan kemudahan parkir dan pembangunan Perpustakaan Digital Negara, antara perkara yang disuarakan untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2027.
Cadangan pembangunan Putrajaya perlu dipertimbang
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin berharap agar ada berita baik bagi pembangunan Putrajaya pada 2027 menerusi Belanjawan 2027.
Menerusi perkongsian di Threads hari ini, beliau berkata beberapa cadangan pembangunan telah disuarakan dan diperjuangkan, termasuk pembinaan kompleks sukan baharu, kompleks kejiranan serta penambahan kemudahan parkir.
Antara cadangan yang dikemukakan ialah pembinaan kompleks sukan baharu di Presint 13, termasuk trek balapan, serta Kompleks Sukan Ragbi di presint sama.
Selain itu, cadangan berkenaan turut merangkumi pembinaan kompleks kejiranan baharu, khususnya di Presint 5, penambahan kemudahan parkir termasuk di Presint 11, 16 dan 17, serta pembangunan Perpustakaan Digital Negara di Presint 3.
Turut dicadangkan ialah kerja-kerja menaik taraf padang hoki Presint 5 dengan penggunaan rumput sintetik dan penyediaan lampu jalan di sempadan Putrajaya.
Menurut Radzi, lokasi dan perancangan bagi beberapa cadangan berkenaan telah dikenal pasti, namun peruntukan diperlukan bagi merealisasikannya.
“Ini antara perkara yang saya bawa di Dewan Rakyat serta melalui urusan terus dengan pihak berkaitan,” katanya.
Beliau berkata, masih banyak keperluan pembangunan Putrajaya yang akan dibangkitkan dalam perbahasan Belanjawan 2027 akan datang.
Dalam pada itu, Radzi memaklumkan bahawa Perbadanan Putrajaya (PPj) setakat ini telah mengenal pasti tiga lokasi bagi cadangan pembangunan kompleks kejiranan baharu.
Kompleks kejiranan di Presint 5 dicadangkan bagi memenuhi keperluan penduduk Presint 5 dan 6, manakala dua lagi kompleks kejiranan baharu turut dicadangkan untuk dibangunkan di Presint 14 dan Presint 17.

