Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Calon SPM 2025 Zahir Kesyukuran, Kongsi Kegembiraan Selepas Terima Keputusan
Hari ini merupakan satu detik bersejarah buat 366,435 rakyat Malaysia yang telah menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2025.
Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan antara pencapaian penting dalam sistem pendidikan negara yang menjadi penentu hala tuju akademik dan kerjaya seseorang pelajar.
Setiap tahun, calon-calon yang menduduki peperiksaan ini pastinya melalui fasa debaran yang panjang sementara menantikan keputusan diumumkan.
Debaran yang dirasai sejak semalam akhirnya berakhir apabila calon-calon mula menyemak keputusan peperiksaan masing-masing bermula jam 10 pagi tadi.
Menjengah perkongsian di media sosial, calon SPM 2025 dilihat berkongsi keputusan peperiksaan masing-masing.
Kebanyakan daripada mereka turut meluahkan rasa syukur apabila segala usaha, pengorbanan dan penat lelah sepanjang tempoh pembelajaran akhirnya membuahkan hasil yang membanggakan.
Tidak kurang juga yang mengambil peluang untuk berterima kasih kepada ibu bapa, guru serta rakan-rakan yang sentiasa memberi sokongan sepanjang perjalanan mereka.
Selain itu, terdapat juga calon yang menjadikan momen tersebut sebagai inspirasi kepada pelajar lain agar terus berusaha dan tidak mudah berputus asa dalam mengejar kejayaan.





SK turut mengucapkan tahniah kepada calon-calon SPM 2025 yang menerima keputusan peperiksaan hari ini.
Bernama melaporkan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 mencatatkan pencapaian terbaik dengan Gred Purata Kebangsaan (GPK) 4.42 berbanding 4.49 pada 2024.
Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata sebanyak 366,435 calon atau 94.29 peratus layak diberikan sijil SPM pada 2025 berbanding 355,933 calon pada 2024.
“Angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak 10,502 calon atau 0.28 peratus. Tahniah untuk semua usaha warga guru yang dizahirkan dalam keputusan SPM,” katanya dalam sidang media pengumuman keputusan SPM 2025 di sini hari ini.
Mohd Azam berkata analisis keputusan SPM 2025 menunjukkan pencapaian calon yang memberangsangkan, sekali gus mencerminkan keberkesanan usaha berterusan Kementerian Pendidikan (KPM) menyediakan akses pendidikan yang inklusif dan berkualiti dalam menyokong aspirasi Malaysia MADANI.