Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Cendol Malaysia 'Mendonia', Dah 'Terbang' Sampai Ke India
Malaysia sememangnya terkenal dengan kepelbagaian makanan yang sedap, unik dan sering menjadi sebutan ramai hingga ke peringkat dunia.
Setiap hidangan di sini bukan sekadar makanan, tetapi memiliki 'jiwa' tersendiri yang mudah membuatkan sesiapa sahaja jatuh cinta pada pandangan pertama.
Keunikan inilah yang sering menarik perhatian pelancong.
Ada yang bukan sahaja menikmati, malah turut merasai sendiri pengalaman makanan tempatan, mempelajari resipinya, dan seterusnya membawa idea itu pulang untuk dikembangkan di negara mereka sendiri.
Antara yang paling mencuri perhatian sudah tentu cendol, pencuci mulut klasik yang tidak pernah hilang peminatnya.
Dari gerai tepi jalan hinggalah ke kafe moden, cendol kekal sebagai minuman manis yang menyegarkan dan penuh nostalgia.
Menariknya, hidangan ini kini dilaporkan sudah 'terbang' jauh hingga ke India, apabila masyarakat di sana yang sememangnya gemar manisan berasaskan gula dan santan mula menunjukkan minat terhadap keenakan cendol yang unik ini.
Baru-baru ini, perkongsian daripada seorang rakyat India di TikTok menerusi akaun @kani.boy47 telah mencuri perhatian ramai pengguna media sosial.
Menerusi hantaran tersebut, lelaki berkenaan yang dipercayai pernah menetap dan berkelana di Malaysia berkongsi pengalamannya menikmati manisan cendol ketika berada di negara ini.

Pengalaman itu dilihat memberi inspirasi kepadanya untuk membawa idea tersebut pulang ke negara asal, India, sehingga tercetusnya usaha membuka kedai cendol sendiri.
Lebih menarik, premis berkenaan dinamakan 'Cendol Malaysia' dan dikatakan merupakan cawangan pertama di India, sekali gus menjadi simbol kecil pengenalan cita rasa Malaysia di sana.
Menurutnya, daya tarikan utama cendol terletak pada ramuannya yang ringkas tetapi unik, seperti gabungan santan yang lemak berkrim, gula melaka yang manis beraroma, serta tekstur jeli hijau yang menyegarkan.

Kombinasi ini menjadikan cendol bukan sekadar pencuci mulut, tetapi pengalaman rasa yang sukar dilupakan, hingga mampu mencetuskan idea untuk dikembangkan merentasi sempadan.
Tambahnya lagi, premis tersebut dijangka akan mula beroperasi dalam tempoh 10 hari lagi, dan menu penuh yang ditawarkan juga akan diumumkan ketika pelancarannya.

Sebelum ini, lelaki berkenaan pernah tular kerana membuka kedai tomyam di negara berkenaan.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa terkejut serta teruja dengan perkembangan tersebut.
Malah, ramai yang tidak sabar untuk melihat bagaimana cendol ini akan diterima dan berkembang dalam pasaran di India, sekali gus menjadikannya satu fenomena baharu yang menarik perhatian ramai.
“Mendunia dah makanan Malaysia,” komen seorang netizen.
“Tolong perkenalkan cendol durian, cendol pulut, cendol pulut hitam pula di sana,” ujar seorang lagi.
“Terbaik uncle, nanti boleh buat satu akaun TikTok baru khusus untuk perniagaan cendol ni,” komen seorang pengguna lain.