Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Cepat & Sedap, Ini 5 Resipi Air Laici Yang Pasti Buat Anda Terpikat

Azzwin
air laici

Cepat & Sedap, Ini 5 Resipi Air Laici Yang Pasti Buat Anda Terpikat

Setiap kali masuk waktu petang di bulan Ramadan, suasana memang mula terasa berbeza.

Ada yang sibuk di dapur, ada juga yang berkira-kira mahu ke bazar untuk mencari juadah berbuka.

Namun begitu, dalam keletihan selepas seharian berpuasa, ramai sebenarnya lebih memilih untuk menyediakan sendiri menu yang ringkas dan tidak renyah.

Justeru, hari ini SK akan kongsikan lima resipi air laici yang mudah untuk disediakan di rumah.

1. Air laici susu

Resipi ini sesuai dijadikan pilihan minuman sejuk dan menyegarkan untuk dinikmati bersama keluarga.

Untuk makluman, resipi ini diambil daripada perkongsian pengguna @hasriiman di TikTok.

Bahan-bahan:

  • Laici tin

  • Susu cair

  • Sari kelapa (nata de coco)

Kredit: @hasriiman via TikTok

Cara-cara:

  1. Mula-mula, masukkan satu tin laici bersama airnya dalam pengisar.

  2. Seterusnya, masukkan susu cair, kira-kira separuh tin lalu kisar sehingga halus.

  3. Kemudian, sediakan sebuah balang yang berisi ais secukupnya bagi memastikan minuman menyegarkan.

  4. Selepas itu, tuangkan sedikit sari kelapa ke dalam balang berisi ais tadi.

  5. Akhir sekali, masukkan campuran laici dan susu cair yang telah dikisar ke dalam balang, gaul hingga sebati dan minuman sedia untuk dihidangkan.

2. Air tembikai Fanta laici

Bagi resipi kedua ini pula, ia merupakan perkongsian daripada pengguna @hishamraustv di TikTok.

Menu air tembikai Fanta laici ini tampil dengan gabungan rasa buah yang segar dan minuman berkarbonat, sesuai dijadikan pilihan istimewa ketika berbuka.

Bahan-bahan:

  • Tembikai

  • Setengah tin air laici

  • 5 biji buah laici

  • 1 biji limau nipis

  • 4 helai daun pudina

  • Air berkarbonat Fanta berperisa laici

  • ⁠Ais

Kredit: @hishamraustv via TikTok

Cara-cara:

  1. Mula-mula, potong tembikai dengan nipis dan masukkan ke dalam pengisar sehingga memenuhi kira-kira separuh daripada bekas pengisar.

  2. Seterusnya, tambahkan empat biji buah laici dan tiga helai daun pudina ke dalam pengisar tersebut.

  3. Kemudian, potong sebiji limau nipis dan perahkan separuh daripadanya ke dalam pengisar bagi memberikan rasa segar dan sedikit masam.

  4. Selepas itu, kisarkan semua bahan sehingga halus dan sebati.

  5. Dalam pada itu, sediakan sebuah jug dan isikan ais secukupnya. Tambahkan juga beberapa ketul tembikai yang telah dipotong dadu ke dalam jug tersebut.

  6. Seterusnya, hiriskan beberapa keping limau nipis dan masukkan ke dalam jug bersama beberapa helai daun pudina serta beberapa biji buah laici sebagai hiasan dan penambah rasa.

  7. Akhir sekali, tuangkan air tembikai yang telah dikisar tadi ke dalam jug, kemudian tambahkan minuman berkarbonat Fanta perisa laici.

  8. Kacau sehingga sebati dan minuman sedia untuk dihidangkan.

3. Air sunquick laici

Resipi ketiga ini pula dikongsikan oleh pengguna @azali_00 di TikTok.

Gabungan kordial Sunquick dan laici menghasilkan rasa manis masam yang menyegarkan, sesuai dijadikan minuman pilihan untuk melegakan dahaga.

Bahan-bahan:

  • Kordial Sunquick perisa oren

  • Laici tin

  • Susu cair

Kredit: @azali_00 via TikTok

Cara-cara:

  1. Mula-mula, masukkan satu tin laici bersama airnya ke dalam pengisar.

  2. Seterusnya, tambahkan susu cair serta sedikit kordial Sunquick perisa oren ke dalam pengisar tersebut. Kemudian, kisarkan semua bahan sehingga halus.

  3. Dalam pada itu, sediakan sebuah jug dan isikan ais secukupnya. Selepas itu, hiriskan buah oren dan masukkan ke dalam jug sebagai penambah rasa dan hiasan.

  4. Kemudian, tambahkan beberapa biji buah laici ke dalam jug.

  5. Seterusnya, tuangkan campuran laici yang telah dikisar tadi ke dalam jug berisi ais dan buah-buahan.

  6. Akhir sekali, tambahkan sedikit lagi kordial Sunquick perisa oren mengikut citarasa, gaul sehingga sebati dan minuman sedia untuk dihidangkan.

4. Air sarsi laici

Resipi keempat ini juga dikongsikan oleh pengguna @hasriimann di TikTok.

Resipi air sarsi laici ini mempunyai kombinasi rasa unik yang menyegarkan.

Bahan-bahan:

  • Kordial Sunquick perisa oren

  • Laici tin

  • Susu cair

Kredit: @hasriimann via TikTok

Cara-cara:

  1. Mula-mula, masukkan ais secukupnya ke dalam sebuah balang.

  2. Seterusnya, tuangkan laici dalam tin bersama airnya sekali ke dalam balang tersebut.

  3. Kemudian, tambahkan minuman berkarbonat perisa sarsi mengikut kuantiti yang diingini.

  4. Selepas itu, masukkan beberapa helai daun pudina sebagai penyegar rasa dan hiasan.

  5. Akhir sekali, kacau semua bahan sehingga sebati dan minuman sedia untuk dinikmati.

5. Air laici pudina selasih

Resipi terakhir ini dikongsikan oleh pengguna @aminarose_my di TikTok.

Air laici pudina selasih ini tampil dengan rasa segar dan aromatik, sangat sesuai untuk melegakan dahaga ketika berbuka puasa.

Bahan-bahan:

  • Kordial laici

  • Laici tin

  • Daun pudina

  • Biji selasih

  • Air gula

Kredit: @aminarose_my via TikTok

Cara-cara:

  1. Mula-mula, masukkan ais ke dalam sebuah balang dan tambahkan air secukupnya.

  2. Seterusnya, tuangkan air gula mengikut tahap kemanisan yang diingini dan kacau sebentar sehingga larut.

  3. Kemudian, masukkan kordial laici bersama isi daripada tin buah laici ke dalam balang tersebut.

  4. Selepas itu, tambahkan beberapa helai daun pudina bagi memberikan aroma yang lebih segar.

  5. Seterusnya, masukkan biji selasih yang telah direndam sehingga kembang.

  6. Akhir sekali, gaulkan semua bahan sehingga sebati dan minuman sedia untuk dihidangkan.