Setiap hari kita keluar dari rumah dengan harapan agar segalanya berjalan dengan baik. Sama ada keluar untuk bekerja atau ke mana-mana destinasi yang nak dituju, keselamatan sentiasa diutamakan.
Namun malang tak berbau, tiada siapa yang dapat menjangka bencana yang akan menimpa diri sendiri.
Walaupun dah ‘sediakan payung sebelum hujan’, kemalangan boleh berlaku dengan sekelip mata tanpa diduga.
Kita boleh kata sudah memandu kenderaan dengan baik, tetapi kadang kala ada faktor lain yang mencetuskan kemalangan iaitu masalah kesihatan diri.
Mungkin ramai yang masih tak sedar, faktor kesihatan itu banyak menyumbang kepada insiden yang tak diingini. Ada pemandu yang tiba-tiba diserang sakit jantung atau sawan dan keadaan ini berisiko menyebabkan kemalangan dengan pemandu lain.
Check kesihatan RM30
Disebabkan itu, pentingnya untuk jaga dan lakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala terutama bagi pemandu lori atau barangan.
Pun begitu, mungkin ada sesetengah pemandu yang ‘berat hati’ untuk jalani pemeriksaan terutama bagi tujuan pembaharuan lesen kerana masalah kewangan.
Lebih-lebih lagi bila fikir kena keluarkan sedikit gaji untuk tujuan itu. Meskipun jumlahnya kecil bagi orang lain, namun yang kecil itu boleh menampung keperluan selama beberapa hari bagi para pemandu lori.

Program Pemandu Sihat dan Selamat
Tapi jangan risau, Program Pemandu Sihat dan Selamat (PSS) dari PERKESO akan jadi penyelamat untuk mereka.
Bagi yang belum tahu, PSS adalah satu inisiatif bawah Belanjawan MADANI 2026 yang menyediakan subsidi perkhidmatan pemeriksaan kesihatan bagi tujuan pembaharuan lesen kepada pemandu kenderaan perdagangan yang layak.
Melalui PSS, pemandu dapat nikmati pemeriksaan kesihatan bersubsidi bagi tujuan pembaharuan lesen vokasional secara sistematik melalui pendigitalan Borang JPJL8A.
Pemeriksaan ini penting untuk memastikan pemandu berada dalam keadaan sihat serta dapat kenal pasti masalah kesihatan yang boleh jejaskan keupayaan pemanduan seperti gangguan tidur (obstructive sleep apnea), masalah penglihatan dan penyakit tidak berjangkit (NCD).
Macam mana bayaran PSS?
Tentunya ramai yang tertanya-tanya bayaran bagi program ini. Untuk pengetahuan, ia adalah bayaran secara bersama (co-payment).
Jadi korang tak perlu risau kalau tak cukup duit sebab PERKESO akan bayar kos pemeriksaan itu lebih separuh daripada kos yang sepatutnya korang bayar.
Sebagai contoh, jika kos pemeriksaan kesihatan berjumlah RM85.00, PERKESO akan tanggung kos sebanyak RM55.00 manakala korang hanya perlu tanggung sebanyak RM30.00.
Bayaran perlu dibuat melalui portal MESAS sebelum jalani pemeriksaan di klinik panel.
Siapa yang layak?
Warganegara Malaysia
Berumur antara 40 hingga 59 tahun
Pencarum aktif PERKESO di bawah Skim Keilatan Lindung Pekerja atau Lindung Kendiri
Pemegang lesen vokasional PSV E (bas), GDL E (kejur) dan GDL E (bersendi)

Jenis pemeriksaan
Pemeriksaan fizikal umum
Pemeriksaan penglihatan
Pemeriksaan pendengaran
Saringan Sindrom Kesekatan Pernafasan Tidur Berdengkur (OSA)
Pemeriksaan neurologi dan muskuloskeletal
Pemeriksaan kardiovaskular
Pemeriksaan respiratori
Pemeriksaan diabetes (ujian HbA1c perlu dijalankan sekiranya pencarum menghidap diabetes)
Proses dapatkan pemeriksaan PSS
Pemandu boleh semak kelayakan bagi program melalui Portal MESAS.
Pemandu boleh hubungi Klinik Panel yang berdaftar bagi penetapan janji temu pemeriksaan. Senarai Klinik Panel boleh disemak di Portal MESAS.
Pemandu hadir ke Klinik Panel berdasarkan janji temu yang ditetapkan untuk jalani pemeriksaan atau hadir terus ke klinik untuk penerangan lanjut.
Pemandu perlu kemukakan lesen vokasional kepada Klinik Panel bagi tujuan pengesahan lesen dan semakan tarikh luput.
Setelah kelayakan pemandu disahkan, pemandu perlu buat bayaran melalui Portal MESAS sebelum pemeriksaan kesihatan dijalankan oleh Klinik Panel.
Setelah pemeriksaan dijalankan, Borang Laporan Pemeriksaan Kesihatan (JPJL8A) akan dicetak oleh Klinik Panel dan diserahkan kepada pemandu untuk diserahkan di Kaunter JPJ bagi tujuan pembaharuan lesen.
Apa lagi alasan untuk tak jalani pemeriksaan kesihatan? Kerja boleh dicari tetapi kesihatan adalah amanah yang perlu kita jaga dengan sebaiknya.
Lagi-lagi sebagai pemandu lori, memandu di jalan raya ada banyak risiko dan kadang kala ia boleh dielak dengan miliki kesihatan yang baik.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web PERKESO dan portal MESAS.

