Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

LINDUNG 24 Jam Bukan Sekadar Potongan Gaji, ‘Talian Hayat’ Pekerja Dan Waris Jika Ditimpa Musibah - PERKESO

PERKESO
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed

LINDUNG 24 Jam Bukan Sekadar Potongan Gaji, ‘Talian Hayat’ Pekerja Dan Waris Jika Ditimpa Musibah - PERKESO

Ramai menganggap potongan caruman bulanan hanyalah satu kewajipan, namun di sebalik jumlah yang kecil itu sebenarnya tersimpan perlindungan yang mampu mengubah kehidupan seseorang apabila musibah datang tanpa diduga.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, skim LINDUNG 24 Jam bukan sekadar potongan caruman daripada gaji, sebaliknya merupakan jaminan kelangsungan hidup kepada pencarum dan keluarga sekiranya berlaku kemalangan di luar waktu bekerja.

Katanya dalam satu kenyataan di Facebook baru-baru ini, pencarum yang mengalami kecederaan sehingga tidak mampu bekerja akan menerima gantian pendapatan bagi memastikan sumber rezeki mereka terus terpelihara sepanjang tempoh pemulihan.

Menurut beliau, sekiranya pencarum mengalami hilang upaya kekal, keadaan mereka akan dinilai oleh Jemaah Doktor bagi menentukan bentuk pampasan sama ada secara bayaran sekali gus (lump sum) atau secara berkala.

Malah, katanya, pencarum turut diberikan akses kepada kemudahan rehabilitasi tanpa had bagi membantu mereka kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

“Paling penting, andai berlaku kematian, faedah berupa bayaran kepada orang tanggungan iaitu insan tersayang terutama anak-anak yang masih bertatih dalam kehidupan akan diberikan, sekali gus menjamin kelangsungan sosioekonomi mereka.

“Inilah sebenarnya manfaat LINDUNG 24 Jam yang merupakan talian hidup rakyat, di sebalik caruman berkadar kecil pada setiap bulan,” katanya.

Menurut Mohammed Azman, dalam tempoh sebulan pelaksanaan skim berkenaan, PERKESO merekodkan purata 27 tuntutan setiap hari dengan jumlah faedah yang disalurkan hampir RM2 juta.

Bagaimanapun, beliau berkata jumlah tersebut dijangka terus meningkat selaras dengan komitmen jangka panjang kepada pencarum serta waris yang layak menerima manfaat.

Mengulas lanjut, beliau mengibaratkan sistem perlindungan sosial itu sebagai satu bentuk solidariti masyarakat yang saling membantu ketika berdepan kesukaran.

“Yang sihat bantu yang sakit, yang hidup bantu yang meninggal dan yang ditinggalkan, yang ada kaki bantu yang tiada kaki.

“Hakikatnya, tiada siapa yang mengharapkan atau mampu menjangkakan bahawa kita akan ditimpa musibah atau kemalangan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohammed Azman berkata selaras dengan keputusan Jemaah Menteri dan arahan Menteri Sumber Manusia (KESUMA), PERKESO akan menyediakan saluran opt-out kepada pekerja tempatan yang mahu dikecualikan daripada skim LINDUNG 24 Jam bermula Isnin depan.

Beliau berkata pihaknya menghormati hak setiap individu untuk membuat pilihan, namun berharap keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan manfaat perlindungan yang disediakan.

“Saya menghormati hak setiap individu untuk membuat pilihan, namun saya berharap keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan sebaik-baiknya manfaat besar yang disediakan LINDUNG 24 Jam,” katanya.