Chef selebriti terkemuka negara, Chef Wan meluahkan rasa bangga apabila cucunya, Isabella Saffiya O’Luanaigh, terpilih sebagai salah seorang daripada 22 pemain dalam skuad akhir bola sepak wanita bawah 17 tahun negara, Malayan Tigress B-17.
Cucu Chef Wan wakili negara
Isabella kini bersama pasukan negara menyertai kempen Piala Srikandi Merdeka 2026 yang berlangsung di Kudus, Indonesia, sekali gus menjadi satu pencapaian membanggakan buat dirinya dan seluruh keluarga.
Menerusi perkongsian di Threads, Chef Wan atau Datuk Redzuawan turut merakamkan ucapan tahniah kepada Isabella serta seluruh pasukan atas kejayaan mereka mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
Sebagai seorang yang tidak begitu mengikuti perkembangan bola sepak, Chef Wan mengakui beliau pada awalnya kurang mengetahui mengenai pencapaian cucunya itu.
Namun, selepas menerima perkongsian gambar daripada anaknya, Serina, serta laporan media yang dihantar oleh Qamal, barulah beliau mengetahui kejayaan yang diraih Isabella bersama pasukannya.
“Saya bukanlah peminat bola sepak dan tahu sangat sedikit tentang permainan ini. Tetapi apabila Rina menghantar semua gambar dan Qamal berkongsi pelbagai laporan media, barulah saya tahu.
“Tahniah kepada Isabella dan seluruh pasukannya. Saya sangat bangga dengan cucu saya yang dapat mewakili negara. Alhamdulillah,” katanya.
Untuk rekod, Isabella, 14, beraksi di posisi tengah dan menyarung jersi bernombor 11 bersama skuad Malayan Tigress B-17.
Kemenangan bergaya itu menyaksikan Malaysia menamatkan saingan dengan empat mata, sekali gus mengatasi Hong Kong berdasarkan kelebihan perbezaan jaringan.
Lebih mencuri perhatian, skuad kendalian Fairuz Montana Zainal Abidin terpaksa meneruskan permainan dengan 10 pemain seawal minit ke-21 selepas Dishanna Nagarajan Pillay dilayangkan kad merah.
Bagaimanapun, kekurangan seorang pemain tidak menghalang skuad muda negara daripada terus memberikan aksi terbaik untuk melakar kemenangan besar berkenaan.
Keputusan itu sekali gus membawa Malaysia ke peringkat separuh akhir, dengan skuad muda negara kini semakin hampir merealisasikan impian untuk melakar kejayaan dalam kempen Piala Srikandi Merdeka 2026.

