Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

KUALA LUMPUR – Sambutan kebudayaan ikonik negara, Citrawarna 2026, bakal kembali memeriahkan Dataran Merdeka pada 24 hingga 26 Julai 2026, menghimpunkan persembahan budaya dari seluruh negara dalam satu pertunjukan penuh warna-warni yang menampilkan kepelbagaian tradisi, seni dan warisan Malaysia.
Berlangsung sempena kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026), edisi kali ini membawa tema “Ritma Warisan, Nadi Nusa dan Bangsa”, sekali gus mengangkat Kuala Lumpur sebagai pentas utama meraikan identiti dan kepelbagaian budaya Malaysia.
Pengunjung bakal disajikan dengan empat segmen utama iaitu Citra Perarakan (Colours of Parade), Citra Rasa (Colours of Flavour), Citra Budaya (Colours of Culture) dan Citra Seni (Colours of Art), yang menawarkan pengalaman menyeluruh melalui persembahan kebudayaan, hidangan tradisi, pameran seni serta pelbagai aktiviti budaya interaktif.
Sejak diperkenalkan pada tahun 1999, Citrawarna atau Colours of Malaysia telah menjadi platform penting dalam mempromosikan seni, budaya, warisan serta keindahan alam semula jadi Malaysia kepada dunia.
Penganjuran Citrawarna 2026 oleh Tourism Malaysia dengan kerjasama Yes Travel & Holidays Sdn. Bhd. serta sokongan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Warisan Kuala Lumpur mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan budaya bertaraf dunia.
Inisiatif ini turut menyokong pertumbuhan pelancongan inklusif, memperkasa komuniti tempatan, meningkatkan daya tahan industri serta memacu pembangunan ekonomi yang mampan.
Citrawarna kekal sebagai salah satu produk pelancongan budaya utama Malaysia yang memainkan peranan penting dalam memupuk penghargaan lebih mendalam terhadap kepelbagaian identiti budaya negara, di samping mengeratkan perpaduan masyarakat dari seluruh pelosok tanah air.
Sepanjang tiga hari penganjuran, sambutan ini akan digerakkan menerusi empat komponen utama yang menjadi nadi kepada Citrawarna 2026 seperti berikut:
• Citra Perarakan (Colours of Parade) menampilkan perarakan budaya yang menakjubkan melalui gabungan muzik, tarian dan penceritaan oleh kontinjen dari seluruh Malaysia.
• Citra Rasa (Colours of Flavour) meraikan warisan kulinari Malaysia yang kaya dengan hidangan tradisional serta pengalaman gastronomi asli.
• Citra Budaya (Colours of Culture) akan mempamerkan persembahan tradisional, aktiviti bersifat kemasyarakatan dan ekspresi budaya yang mencerminkan kepelbagaian rakyat
• Citra Seni (Colours of Art) akan mempamerkan kraf tangan tempatan dan demonstrasi seni secara langsung oleh penggiat industri kreatif tempatan.

Acara kemuncak Citrawarna 2026 ialah Citra Perarakan yang dijadualkan berlangsung pada 25 Julai 2026, menghimpunkan penghibur dari seluruh negara dalam satu persembahan besar yang menonjolkan elemen perpaduan, kreativiti dan identiti kebangsaan.
Persembahan ini bakal mengubah Dataran Merdeka menjadi pentas penuh warna-warni yang meraikan kekayaan warisan budaya Malaysia melalui muzik, tarian dan penceritaan yang mempesonakan.
Selain memperkukuh warisan budaya negara, Citrawarna 2026 juga dijangka memberi impak ekonomi yang positif melalui peningkatan kehadiran pelawat domestik dan antarabangsa.
Kehadiran ini mampu membuka peluang ekonomi yang lebih luas kepada pengusaha hotel, pengendali pelancongan serta peniaga tempatan, sekali gus merangsang aktiviti ekonomi setempat.
Bersempena penganjuran ini, Tourism Malaysia mengalu-alukan penyertaan hotel dan penginapan untuk menawarkan kadar bilik istimewa, pakej promosi serta tawaran menarik kepada pengunjung sepanjang acara berlangsung.
Inisiatif ini bukan sahaja dapat memperkayakan pengalaman pelawat, malah berpotensi menggalakkan tempoh penginapan yang lebih lama serta meningkatkan limpahan ekonomi pelancongan di Kuala Lumpur.
Pihak hotel dan rakan industri pelancongan yang berminat, boleh hubungi Cik Sinoretha Sining melalu e-mel [email protected] atau melalui talian telefon +603-8891 8747.
Orang ramai dijemput hadir bagi bersama-sama memeriahkan sambutan penuh warna warni ini dan menjadi sebahagian daripada perayaan budaya, kreativiti dan perpaduan yang menjadi kebanggaan Malaysia.
Maklumat lanjut mengenai pengisian program dan sorotan acara akan diumumkan dari semasa ke semasa.