Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Bersempena dengan penganjuran Citrawarna 2026 yang akan berlangsung pada 24 hingga 26 Julai 2026 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, hotel-hotel terpilih di sekitar Lembah Klang dan beberapa negeri menawarkan promosi penginapan eksklusif bagi merancakkan lagi aktiviti pelancongan sepanjang tempoh program dilaksanakan.
Citrawarna 2026 dengan tema “Ritma Warisan, Nadi Nusa dan Bangsa” yang berlangsung selama tiga hari merupakan acara kebudayaan ikonik negara yang cukup mengujakan. Festival ini menampilkan kelainan dengan mengetengahkan kepelbagaian seni, budaya, warisan, serta keindahan alam semula jadi Malaysia menerusi persembahan rona warna yang memukau. Acara ini menawarkan platform unik kepada pengunjung domestik dan antarabangsa untuk merasai sendiri kekayaan identiti serta kepelbagaian budaya tanah air.
Bersempena Citrawarna 2026, lebih daripada 40 buah hotel dan premis penginapan mengambil bahagian dalam menawarkan pelbagai promosi penginapan eksklusif. Tawaran istimewa ini merangkumi kadar bilik pada harga menarik serta pakej gabungan unik bagi memberikan penginapan yang selesa di sekitar Lembah Klang dan beberapa negeri. Promosi ini boleh ditempah mulai pertengahan Julai hingga pertengahan Ogos 2026, sekali gus memberi pilihan terbaik kepada pelawat yang merancang percutian singkat sempena festival tersebut.

Selain tawaran penginapan, rangkaian hotel yang terlibat turut menyemarakkan festival ini menerusi inisiatif Citra Rasa (Colours of Flavour) dengan memperkenalkan hidangan yang diinspirasikan daripada warisan kulinari setiap negeri di Malaysia di kafe dan restoran hotel masing-masing. Menerusi inisiatif gastronomi asli ini, para pengunjung berpeluang menikmati kepelbagaian hidangan tradisional yang kaya dengan keunikan warisan rasa yang tersendiri.
Para pengunjung boleh menikmati tawaran penginapan ini dengan membuat tempahan terus melalui laman sesawang rasmi pengusaha hotel. Maklumat lanjut termasuk senarai hotel yang terlibat, butiran pakej, serta inisiatif Citra Rasa akan diumumkan secara berperingkat menerusi platform media sosial di @citrawarna.my dan @malaysia.truly.asia, atau boleh didapati di www.malaysia.travel.
Kerjasama antara Tourism Malaysia dan para pemain industri ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan budaya bertaraf dunia. Langkah strategik ini bukan sahaja memperkaya pengalaman pengunjung, malah menyokong pertumbuhan pelancongan inklusif, memperkasa komuniti tempatan, meningkatkan daya tahan industri, serta memacu pembangunan ekonomi yang mampan sepanjang tempoh Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026).