Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

CMCF Gesa Pengguna Lebih Berhati-Hati Kongsi Klip Kandungan 18+ Di Media Sosial

Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) menggesa pengguna media sosial supaya lebih berhati-hati apabila berkongsi semula babak atau klip daripada program yang dikhususkan untuk penonton berusia 18 tahun ke atas, khususnya apabila kandungan tersebut boleh tersebar kepada kanak-kanak dan khalayak umum yang bukan sasaran asal program berkenaan.

Menurut CMCF, perbincangan awam kebelakangan ini mengenai kandungan penstriman turut mengetengahkan satu isu yang semakin penting: sesuatu babak yang asalnya disiarkan dalam program dengan klasifikasi umur, maklumat kandungan dan perlindungan pengguna tertentu boleh berubah sama sekali dari segi konteks dan jangkauan apabila dipotong, disunting dan disebarkan secara meluas di media sosial.

“Apabila babak daripada kandungan yang ditujukan untuk penonton berusia 18 tahun ke atas dikongsi di media sosial, ia boleh kehilangan konteks, klasifikasi dan amaran asal, lalu tersebar kepada khalayak yang lebih luas termasuk kanak-kanak,” kata Ketua Pegawai Eksekutif CMCF, Mediha Mahmood.

CMCF menegaskan bahawa jika sesuatu kandungan dianggap tidak sesuai, kebimbangan tersebut wajar dibangkitkan melalui saluran yang betul supaya dapat diteliti dan ditangani sewajarnya.

Pada masa yang sama, pengguna juga perlu mempertimbangkan sama ada tindakan berkongsi semula kandungan tersebut boleh menyebabkan ia tersebar lebih luas kepada khalayak yang sebenarnya ingin dilindungi.

“Jika kita merasakan sesuatu kandungan tidak sesuai untuk tontonan umum, kita juga perlu berhati-hati agar perkongsian kita sendiri tidak meluaskan lagi capaiannya. Aduan boleh dibangkitkan tanpa perlu menyebarkan lagi kandungan tersebut,” kata Mediha.

Pengguna boleh membuat laporan melalui saluran yang disediakan oleh platform, mengemukakan aduan kepada penyedia perkhidmatan, membuat aduan kepada CMCF atau merujuk perkara tersebut kepada pihak berkuasa yang berkaitan. CMCF turut menekankan bahawa perlindungan penonton merupakan tanggungjawab bersama.

Menerusi Nota Amalan Terbaik bagi Kandungan dalam Perkhidmatan Kandungan Pilihan Dalam Talian, yang dibangunkan secara kolaboratif bersama pemain industri tempatan dan antarabangsa, penyedia perkhidmatan digalakkan menyediakan maklumat program yang jelas, klasifikasi umur, nasihat pengguna dan amaran kandungan.

Perkhidmatan juga seharusnya mengutamakan pendekatan keselamatan melalui reka bentuk, termasuk penggunaan PIN, profil mengikut kesesuaian umur dan sekatan tontonan.

Garis Panduan tersebut turut menegaskan bahawa penyedia perkhidmatan yang beroperasi di Malaysia perlu mengambil kira keperluan undang-undang, kawal selia dan budaya tempatan, termasuk sifat masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

“Penarafan umur dan kawalan akses merupakan perlindungan tambahan kepada pengguna dan tidak menggantikan keperluan untuk mematuhi undang-undang, garis panduan serta keperluan tempatan yang terpakai,” tambah Mediha.

Bagi kandungan yang ditujukan kepada penonton matang, klasifikasi yang jelas, nasihat kandungan dan kawalan ibu bapa yang mudah digunakan dapat membantu penonton dewasa membuat pilihan berdasarkan maklumat yang mencukupi, di samping membantu ibu bapa dan penjaga mengurus akses kanak-kanak kepada kandungan yang tidak sesuai dengan usia mereka.

Pengguna pula perlu mengambil perhatian terhadap klasifikasi yang diberikan dan menggunakan ciri keselamatan yang tersedia.

“Perlindungan penonton hanya berkesan apabila semua pihak memainkan peranan. Platform perlu menyediakan maklumat dan kawalan yang jelas, ibu bapa serta pengguna perlu menggunakannya, dan kita semua perlu lebih berhati-hati agar kandungan yang ditujukan kepada penonton 18 tahun ke atas tidak diperluaskan kepada khalayak umum melalui media sosial,” kata Mediha.

CMCF akan terus bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan, penerbit kandungan, pihak berkuasa dan pemegang taruh lain bagi menggalakkan amalan kandungan yang bertanggungjawab serta memperkukuh perlindungan penonton dalam landskap media digital Malaysia yang terus berkembang.

Intipati
  • CMCF menggesa pengguna berhati-hati berkongsi semula klip kandungan 18+ di media sosial.
  • Klip yang dipotong dan disebarkan boleh kehilangan konteks, klasifikasi serta amaran asal.
  • Pengguna disaran membuat aduan melalui platform, penyedia perkhidmatan, CMCF atau pihak berkuasa.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan