Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Penduduk Perancis yang enggan menerima suntikan vaksin COVID-19 berkemungkinan boleh dihalang daripada menaiki pengangkutan awam di negara berkenaan.
Perkara tersebut termasuk dalam draf penggubalan Rang Undang-undang (RUU) yang telah pun mencetus kemarahan pembangkang semalam.
Perdana Menteri, Jean Castex pada kelmarin mendapat sokongan kabinetnya untuk RUU tersebut bagi menyediakan kerangka kerja untuk menangani krisis kesihatan, termasuk pandemik COVID-19.
Menurut draf RUU itu, individu yang telah disahkan negatif COVID-19 atau terbukti pernah menerima rawatan termasuk vaksin sahaja akan diberi kebenaran mengakses pengangkutan awam serta aktiviti-aktiviti lain.
Namun menurut undian atas talian, kira-kira 55 peratus rakyat Perancis menolak untuk divaksin, menjadikannya sebagai antara angka peratusan tertinggi yang membantah vaksin di Eropah.
Sementara itu, Presiden Emmanuel Macron telah berjanji bahawa pengambilan vaksin COVID-19 adalah tidak diwajibkan, namun sangat digalakkan.
Menteri Sektor Awam, Amelie de Montchalin juga menyokong draf RUU tersebut dengan berpendapat ‘ianya sama sekali bukan dicipta untuk mewujudkan kuasa yang ampuh bagi pemerintah’.
“Akan ada perdebatan mengenai RUU itu di mana semuanya akan memerlukan penjelasan,” katanya.
Bagaimanapun, draf RUU tersebut ditentang pihak pembangkang apabila pemimpin Parti RN, Marine Le Pen mengatakan usaha itu sebagai ‘dasar keperluan menyeluruh’.
“Draf RUU ini sebenarnya bukan mahu mewajibkan vaksin, tetapi lebih kepada mahu menghalang orang awam yang tidak mematuhi kehidupan sosial,” katanya.
Jurucakap parti itu, Sebastien Chenu pula mendakwa dasar yang dibangunkan kerajaan Macron itu bersifat ‘diktator kesihatan’.
Kesatuan Eropah (EU) pada Isnin kelmarin telah memberi lampu hijau kepada Perancis dan 27 negara Eropah lain untuk memulakan proses vaksinisasi keluaran Pfizer-BioNTech bermula pada Sabtu selepas perayaan Krismas ini.
Sumber: France24