Satu kluster jangkitan Covid-19 baharu telah dilaporkan berlaku di Wuhan dan wilayah Jilin, menurut Suruhanjaya Kesihatan Nasional (NHC) pada Isnin.
Kes jangkitan baharu itu telah mencetuskan kegusaran akan kemungkinan terjadinya gelombang kedua penularan wabak itu di China, yang kini sedang beransur pulih ke kehidupan normal dengan tahap risiko dikurangkan di seluruh negara sejak beberapa minggu lalu.
Bandar Wuhan yang terletak di wilayah Hubei telah melaporkan lima kes baharu pada hari Isnin, sehari selepas ia mengesahkan kes Covid-19 pertama sejak minggu pertama bulan April.
Setakat Ahad, Wuhan telah melaporkan sejumlah enam kes baharu Covid-19, kesemuanya dilaporkan tercetus daripada kelompok komuniti yang sama, iaitu kejiranan Sanmin di daerah Dongxihu di Wuhan, menurut laporan daripada akhbar Global Times pada Isnin.
Tahap kesiapsiagaan kecemasan di kawasan itu juga telah dinaikkan dari rendah kepada sederhana pada hari Isnin dan hampir 5,000 penduduk di kawasan kejiranan itu dijangka akan menjalani nucleic acid tests bagi menyaring penyakit tersebut.
Pada Isnin, NHC menyatakan mereka telah menerima laporan bahawa terdapat 17 kes Covid-19 yang baru telah disahkan berlaku di China pada hari Ahad, di mana tujuh daripadanya adalah kes import yang dilaporkan di Inner Mongolia Autonomous Region.
Sekurang-kurangnya 11 kes yang berkaitan dengan pekerja dobi tempatan telah dilaporkan pada hujung minggu lalu, menurut media China CCTV. Susulan daripada itu, kerajaan China telah melaksanakan perintah berkurung ke atas seluruh bandar Shulan.
Pada Isnin, Shulan telah mengisytiharkan mod kawalan penularan wabak berskala penuh sebagai tindak balas terhadap kluster jangkitan yang telah dilaporkan itu.
Hasil siasatan pengesanan kontak rapat yang dilakukan, seramai 2005 orang telah dikenal pasti, 290 orang daripadanya merupakan kontak rapat dengan kluster tersebut dan mereka kini sedang dikuarantinkan, lapor media tempatan.
Setakat ini, negara China telah melaporkan sekitar 82 ribu kes positif Covid-19 dan 4,633 jumlah kematian akibat daripada wabak tersebut.
Hampir 68,000 kes tersebut dilaporkan datang daripada Hubei, wilayah China yang paling teruk dilanda wabak itu manakala Wuhan pula melaporkan lebih daripada 50,000 kes pada sebelum ini.
Sumber: Hindustan Times