Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Cuaca Buruk, Lapan Perjalanan Feri Di Kuala Kedah-Langkawi Dibatalkan
Seramai 1,926 penumpang terkandas susulan lapan perjalanan feri Kuala Kedah-Langkawi terpaksa dibatalkan akibat cuaca buruk, termasuk ombak setinggi empat meter hari ini, lapor Astro Awani.
Menurut Pengurus Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Leftenan Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid, empat perjalanan feri yang dibatalkan adalah dari Kuala Kedah ke Langkawi. Manakala selebihnya adalah perjalanan dari Langkawi ke Kuala Kedah.
Pada jam 7 pagi dan 7.30 pagi tadi, hanya dua perjalanan, satu dari Kuala Kedah dan Langkawi berjaya meneruskan perjalanan.
Tambah Norhafiz, 1,030 penumpang dilaporkan terkandas di Langkawi dan 896 penumpang di Kuala Kedah.

“Pembatalan perjalanan itu membabitkan dari Kuala Kedah ke Langkawi (546 penumpang), trip jam 1.30 petang dari Pulau Langkawi ke Kuala Kedah pada jam 2.30 petang (271 penumpang) manakala trip dari Kuala Kedah pada jam 3.30 petang (147 penumpang).
“Selain itu, perjalanan dari Pulau Langkawi ke Kuala Kedah pada jam 4.30 petang (345 penumpang), trip dari Kuala Kedah ke Langkawi pada jam 5.30 petang (127 penumpang), trip dari Pulau Langkawi pada jam 7 petang (155 penumpang) dan 7.30 malam dari Kuala Kedah seramai 76 penumpang.
“Kita terpaksa mengambil keputusan ini demi keselamatan semua pihak,” ujarnya kepada Astro Awani pada Ahad.
Kelajuan angin yang dicatatkan adalah sekitar 16 hingga 18 knots dan ombak setinggi kira-kira empat meter boleh mengundang risiko terhadap perjalanan feri dan bot kecil.
Sebelumnya, 259 penumpang yang menaiki feri dari Langkawi ke Kuala Kedah terpaksa berpatah balik tengah hari tadi kerana cuaca buruk.
Salah seorang pelancong dari Sepanyol, Alejandra Conoura, 48, memberitahu dia sepatutnya menaiki feri pada jam 3 petang hari ini bersama pasangannya.
Bagaimanapun, dia terkejut selepas perjalanan tersebut dibatalkan akibat cuaca buruk.
Susulan itu, Alejandra berkata dia terpaksa mencari lokasi penginapan sementara sebelum perjalanan ke Langkawi esok.
“Kami berharap cuaca bertambah baik esok dan membolehkan kami ke Langkawi esok. Jika keadaan tidak berubah kami mungkin akan cuba menaiki feri dari Kuala Perlis,” ujarnya.
Dalam pada itu, Muhammad Fahim Naifal reda dengan keputusan yang dimaklumkan itu.
Meskipun kecewa namun dia menyifatkan tindakan tersebut adalah sebagai langkah keselamatan semua pihak termasuk penumpang.
“Lama juga kami tunggu untuk masuk sebelum melihat pengumuman memberitahu perjalanan dibatalkan. Terganggulah juga perjalanan saya untuk melancong tapi nak buat macam mana perkara ini di luar kawalan,” jelasnya.
Sumber: Astro Awani