Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), mengeluarkan ramalan cuaca pada 1 Februari hingga 7 Februari. Ketua Pengarah MET Malaysia memaklumkan bahawa cuaca lembab akan dijangka berlaku di kebanyakan tempat di sebelah Pantai Timur Semenanjung dan Timur Sabah.
“Berdasarkan analisis model MET Malaysia Weather Research and Forecasting Model (MET-WRF), European Centre for Medium-Range Weather Forecasts (ECMWF) dan Global Forecast System (GFS), cuaca lembap dijangka berlaku di kebanyakan tempat dengan hujan pada sebelah pagi di pantai timur Semenanjung dan timur Sabah.
“Manakala kawasan barat Sabah, barat dan tengah Sarawak serta pantai barat Semenanjung khususnya Kedah, Perak, Selangor, WP Kuala Lumpur, WP Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan pedalaman Pahang dijangka mengalami ribut petir dan hujan pada waktu petang hingga awal malam,” maklum kenyataan itu hari ini.
Dalam pada itu, amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama juga telah dikeluarkan bagi perairan Laut China Selatan berkuatkuasa pada 2 Februari 2022 hingga 7 Februari 2022.
MET Malaysia menasihatkan agar orang awam sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.

Sumber: MET Malaysia
