Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Cuaca Panas Terik, Ini Resipi Puding Buah Naga Sedap & Menyegarkan

puding buah naga
Kredit: @Khairul Aming via TikTok

Cuaca Panas Terik, Ini Resipi Puding Buah Naga Sedap & Menyegarkan

Selepas menikmati hidangan berat, kebiasaannya ramai yang akan mencari pencuci mulut yang ringan dan menyegarkan untuk melengkapkan selera.

Rasa manis yang tidak terlalu kuat serta tekstur yang lembut sering menjadi pilihan kerana lebih mudah dinikmati.

Lebih-lebih lagi ketika cuaca panas, memang ramai yang mencari makanan atau minuman sejuk yang menyegarkan.

Justeru, hari ini SK ingin kongsikan resipi puding buah naga daripada @Khairul Aming di TikTok.

Bahan-bahan puding buah naga

Menurut @Khairul Aming, bagi menyediakan hidangan ini, anda perlu menyediakan beberapa bahan seperti satu tin susu cair, dua cawan susu segar serta satu cawan air.

Untuk memberikan rasa manis dan lebih berlemak, tambahkan setengah cawan susu pekat bersama setengah cawan air laici daripada buah laici dalam tin.

Kredit: @Khairul Aming via TikTok

Selain itu, sediakan juga satu paket agar-agar sebanyak 10 gram sebagai bahan untuk memejalkan campuran.

Bagi melengkapkan hidangan, sediakan buah naga yang dilenyek dan dipotong dadu, serta hirisan buah laici dalam tin untuk menambah rasa dan warna yang lebih menarik.

Cara-cara menyediakan puding buah naga

Untuk menyediakan hidangan ini, mulakan dengan mencampurkan satu tin susu cair, dua cawan susu segar, satu cawan air, setengah cawan susu pekat serta setengah cawan air laici dalam sebuah bekas.

Kemudian, masukkan satu paket agar-agar sebanyak 10 gram dan kacau sehingga semua bahan sebati.

Selepas itu, bahagikan adunan tersebut kepada dua bekas dengan kuantiti yang sama.

Untuk adunan yang pertama, campurkan buah naga yang telah dilenyek ke dalamnya, lalu gaulkan sehingga sebati.

Kredit: @Khairul Aming via TikTok

Bagi adunan dalam bekas yang lain pula, masukkan hirisan buah laici dalam tin, kemudian panaskan di dalam kuali seketika.

Seterusnya, tuangkan adunan laici ke dalam bekas kecil sehingga memenuhi kira-kira separuh bekas.

Dalam masa yang sama, panaskan pula adunan buah naga sehingga mendidih.

Setelah itu, tuangkan adunan buah naga ke dalam bekas yang mengandungi adunan laici tadi.

Biarkan campuran tersebut sejuk terlebih dahulu. Jika terdapat buih di permukaan, pecahkan dengan menggunakan garfu.

Kemudian, potong dadu buah naga dan letakkan di atas puding sebagai hiasan.

Akhir sekali, tutup bekas dan simpan di dalam peti sejuk sehingga mengeras.

Apabila ingin dihidangkan kepada tetamu, keluarkan puding dan siramkan sedikit air laici ke atasnya.