Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Sesuai Jadi Hidangan "Open House", Ini Resipi Makaroni Goreng Paling Mudah

Azzwin
macaroni goreng
Kredit: @Khairul Aming via TikTok

Sesuai Jadi Hidangan "Open House", Ini Resipi Makaroni Goreng Paling Mudah

Setiap kali berkunjung ke rumah terbuka ketika Hari Raya, kebanyakan hidangan yang disajikan adalah sama.

Sebagai contoh, rendang, sayur masak lemak cili api, ketupat, kuah kacang dan banyak lagi.

Walaupun sedap, kadangkala tetamu yang berkunjung akan rasa sedikit bosan kerana hidangan yang dihidangkan hampir sama di setiap tempat.

Untuk menambahkan kelainan dan memberi pengalaman berbeza kepada tetamu, ramai tuan rumah mula mencari idea hidangan yang lebih unik dan menarik.

Hari ini, SK ingin kongsikan resipi makaroni goreng daripada @Khairul Aming yang anda boleh cuba untuk hidangkan ketika rumah terbuka hari raya.

Bahan-bahan makaroni goreng

Menurut @Khairul Aming, anda memerlukan daging kisar beku sebagai bahan utama, bersama tiga biji bawang merah dan enam ulas bawang putih.

Seterusnya, sediakan satu hingga dua sudu cili kisar mengikut tahap kepedasan yang diingini.

Untuk melengkapkan rasa, gunakan dua sudu sos tiram, dua sudu sos tomato dan dua sudu sos cili.

Kredit: @Khairul Aming via TikTok

Tambahkan juga tiga sudu kicap manis bagi memberi rasa yang lebih seimbang, serta satu kiub pati ayam sebagai penambah perisa.

Seterusnya, anda juga memerlukan lada benggala merah dan hijau, sedikit garam dan serbuk perasa.

Akhir sekali, sediakan 400 gram makaroni yang telah direbus bersama sedikit garam sehingga lembut.

Cara-cara menyediakan makaroni goreng

Untuk menyediakan hidangan ini, @Khairul Aming mulakan dengan memanaskan kuali dan masukkan daging kisar beku.

Kemudian, hancurkan daging tersebut dan goreng tanpa minyak bagi mengeluarkan lemak semula jadi dan biarkan sehingga sedikit garing, lalu angkat dan ketepikan.

Dalam kuali yang sama, tumis tiga biji bawang merah dan enam ulas bawang putih yang sudah dicincang halus.

Seterusnya, masukkan satu hingga dua sudu cili kisar mengikut tahap kepedasan yang diinginkan dan kacau sehingga sebati.

Kredit: @Khairul Aming via TikTok

Jika terdapat sisa daging yang melekat pada kuali, tambahkan sedikit air untuk melarutkannya dan menghasilkan kuah yang sedikit cair.

Selepas itu, masukkan semula daging kisar yang telah dimasak tadi ke dalam kuali.

Tambahkan sos tiram, sos tomato, sos cili dan kicap manis, kemudian gaulkan sehingga semua bahan sebati. Masukkan juga satu kiub pati ayam sebagai penambah rasa dan teruskan mengacau.

Dalam masa yang sama, rebus makaroni bersama sedikit garam sehingga kembang dan lembut.

Setelah siap, masukkan makaroni ke dalam tumisan daging tadi dan gaulkan hingga sebati.

Akhir sekali, tambahkan lada benggala merah dan hijau yang telah dicincang, diikuti sedikit garam serta serbuk perasa dan gaulkan sehingga semua sebati.