Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Dah Setahun Arwah Isteri 'Pergi', Suami Setia Melawat Pusara Setiap Hari
Ujian Allah SWT datang dalam pelbagai cara dan kesemuanya adalah salah satu bentuk kasih sayang Allah terhadap hambaNya.
Ada orang diuji dengan kehilangan insan tersayang termasuk ibu bapa, pasangan dan rakan-rakan. Pastinya fasa kehilangan itu sangat berat untuk dilalui, terutama apabila selama ini mereka sentiasa ada di sisi.
Baru-baru ini tular perkongsian di TikTok yang memaparkan seorang suami setiap hari menziarahi kubur isterinya yang telah meninggal dunia sejak setahun lalu.
Menerusi video yang dimuat naik oleh Nina Ariff, bapanya dilihat sentiasa berada di samping pusara arwah ibunya. Tanpa jemu, bapanya memanjatkan doa, membersihkan kubur dan sesekali tangis pilu dilihat memecah kesunyian.
"Sudah setahun berlalu tapi Papa masih lagi bersama dengan Mummy setiap hari tanpa gagal, sentiasa menjaga Mummy.
"Kami terlalu rindukan Mummy. Al-Fatihah," kata Nina menerusi kapsyen di video itu.
Menerusi beberapa video sebelum ini, Nina berkongsi bahawa ibunya meninggal dunia kerana menghidap kanser tahap 4.
Momen-momen ketika dia dan keluarganya menjaga dan menemani arwah ibunya di hospital menjadi kenangan yang berharga.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang merasa sayu dan sebak melihat video tersebut. Ada juga yang turut berkongsi kisah mereka.
"Sama macam ayah saya. 32 tahun saya hidup, masa ibu pergi saya tengok dia menangis buat kali pertamanya. Setiap minggu mesti ke kubur ibu, kadang-kadang terserempak dengan saya. Tak bagitau pun nak pergi sebab tak duduk sekali tapi saya tahu dia rindu. Moga Allah kurniakan syurga tertinggi untuk ibu-ibu kita"
"Semoga ayah sis terus sihat.. memang susah nak lupa bila kita kehilangan.. saya dah kehilangan arwah ayah dah 12 tahun dan arwah ibu 3 tahun.. klu boleh nak ke kubur tiap-tiap hari"
"Sedihnya bila tengok video macam ni sebab saya takda ayah dari lahir. Semoga pakcik bertemu lagi dengan arwah isteri di syurga Allah"
Di bulan puasa yang mulia ini, semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh ahli-ahli keluarga kita yang telah tiada. Al-Fatihah.