Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Dakwaan Kerajaan Johor "Boneka Istana" Keterlaluan, Tiada Asas - Reezal Merican
JOHOR BAHRU (Bernama) -- Anggapan bahawa Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail menjadikan kerajaan negeri sebagai “boneka istana” disifatkan sebagai satu kenyataan yang amat keterlaluan dan tidak berasas.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata ketegasan baginda bersuara tentang pembangunan Johor tidak seharusnya disalah tafsir, sebaliknya ia merupakan sebahagian daripada tanggungjawab baginda terhadap rakyat.
Beliau berkata setiap titah Tunku Mahkota Ismail ialah hak dan tanggungjawab baginda selaku Pemangku Sultan demi kepentingan bangsa Johor.
“Baginda menjadi (berperanan) sebagai semak dan imbang kepada Menteri Besar Johor, SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri) dan perkara ini tidak boleh dianggap bahawa baginda menjadikan Kerajaan Negeri Johor itu sebagai bahan boneka istana, itu (dakwaan) agak keterlaluan.
“Saya dalam MT UMNO tidak pernah dengar walau sekali pun dibangkitkan bahawa UMNO Johor ini rupanya boneka yang dipegang oleh istana,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan barisan kepimpinan Barisan Nasional (BN) Kulai di sini, hari ini.
Reezal Merican berkata demikian bagi mengulas tindakan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang mengumumkan keluar daripada parti itu selepas mendakwa Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi hanya menjadi “pak turut” sehingga menjadikan UMNO Johor sebagai “boneka yang terikat”.
Beliau turut mempersoalkan motif Mohd Puad, yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, cuba mengheret institusi diraja ke dalam landskap politik negeri, terutama ketika Johor bakal berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi PRN Johor pada Sabtu ini, manakala hari pengundian pada 11 Julai.