Sebuah kafe di Menara Seri Wilayah, Putrajaya dilaporkan terbakar sehingga menyebabkan asap berkepul-kepul dilihat dari sekitar bangunan berkenaan, pagi tadi, dengan kebakaran dipercayai berlaku di bahagian dapur kafe berkenaan.
Dapur kafe di Menara Seri Wilayah terbakar
Kejadian tersebut turut dikongsikan beberapa pengguna media sosial yang berada di lokasi ketika kebakaran berlaku, dengan keadaan berkenaan mencetuskan rasa panik dalam kalangan individu yang berada di bangunan tersebut.
Menerusi perkongsian di Threads, pengguna @_azrulabdullah_ memuat naik video memaparkan asap berkepul-kepul dari bangunan berkenaan sambil bertanyakan mengenai kejadian yang berlaku.
“Asap kepul-kepul. Ada apa-apa info ke warga Putrajaya?” tulisnya.
Sementara itu, pengguna Threads @mariapijaaa turut berkongsi situasi ketika kejadian berlaku dan memaklumkan bahawa keadaan tersebut menyebabkan dirinya panik.
“Real situation office terbakar. Kitanya cepat kena panic attack. Semoga dipermudahkan,” katanya.
Dalam hantaran sama, difahamkan bahawa lokasi yang terbakar merupakan bahagian dapur sebuah kafe di bangunan berkenaan.
Orang ramai turut memuji tindakan pantas pihak bomba yang dipercayai tiba di lokasi bagi membantu menangani kejadian tersebut.
“Terima kasih bomba yang sangat-sangat pantas sampai membantu,” katanya.
Dalam perkembangan sama, pengguna Threads @najihahkhozi turut berkongsi situasi di Menara Seri Wilayah sambil memaklumkan bahawa semua individu dilaporkan selamat.
“Real situation. Menara Seri Wilayah. Alhamdulillah semua selamat,” tulisnya.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada maklumat lanjut berhubung punca kejadian atau tahap kerosakan susulan kebakaran tersebut.
Kebakaran tidak jejaskan struktur utama bangunan
Memetik laporan Bernama pada hari ini, kebakaran di Menara Seri Wilayah di sini pagi tadi hanya membabitkan bahagian dapur sebuah kafe dan tidak menjejaskan struktur utama bangunan itu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Putrajaya, Muhamad Haziq Hazmi berkata tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden berkenaan.
Beliau berkata pihaknya tiba di lokasi pada 8.04 pagi, dan mendapati kebakaran telah dipadamkan pihak penyelenggaraan bangunan menggunakan satu aliran gelung hos, manakala sistem sprinklerturut berfungsi dengan baik.
“Anggota bomba bersama pihak penyelenggaraan kemudian menjalankan pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan tiada lagi punca haba atau kebakaran yang masih aktif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhamad Haziq berkata kerja-kerja pengudaraan turut dilaksanakan dengan mengaktifkan kipas ekzos sedia ada serta menggunakan kipas ekzos mudah alih bagi mengeluarkan asap dan haba dari kawasan terlibat.
Terdahulu, video memaparkan kepulan asap serta kehadiran anggota bomba di Menara Seri Wilayah tular dalam media sosial.

