Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Darah Tiruan Serasi Semua Jenis Dibangunkan Saintis Jepun

Azizah Najib
darah tiruan serasi semua jenis
Kredit: Gambar AI ImageFX

Darah Tiruan Serasi Semua Jenis Dibangunkan Saintis Jepun

NARA (Jepun) — Sekumpulan penyelidik dari Jepun berjaya membangunkan darah tiruan serasi semua jenis darah, sekali gus menawarkan penyelesaian kepada kekurangan bekalan darah global, khususnya di negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Inisiatif berkenaan diketuai oleh Profesor Hiromi Sakai dari Universiti Perubatan Nara.

Penyelidikan tersebut bertujuan menghasilkan darah buatan daripada hemoglobin yang diekstrak daripada darah penderma yang telah tamat tempoh.Ia kemudian dibalut dalam lapisan pelindung bagi membentuk sel darah merah tiruan yang stabil dan bebas virus.

Berikutan sel tiruan ini tidak mempunyai jenis darah, ia boleh digunakan semua pesakit tanpa perlu menjalani ujian keserasian. Darah tiruan ini juga boleh disimpan sehingga dua tahun pada suhu bilik, malah boleh disimpan sehingga lima tahun dalam suhu sejuk.

Tahap jangka hayat ini jauh lebih lama berbanding sel darah merah penderma yang hanya boleh disimpan selama 42 hari.

Penyelidikan ini memulakan ujian awal pada 2022 dengan melibatkan tiga kumpulan sukarelawan lelaki yang sihat, berumur antara 20 hingga 50 tahun. Mereka menerima suntikan tunggal vesikel hemoglobin.

Ia merupakan pembawa oksigen tiruan yang menyerupai struktur sel darah merah, dalam dos meningkat sehingga 100 mililiter.

Sebahagian peserta mengalami kesan sampingan ringan, namun tiada perubahan ketara dikesan pada tanda-tanda vital termasuk tekanan darah. Susulan itu, kumpulan penyelidikan Sakai mempercepatkan fasa seterusnya.

Pada Mac lalu, mereka mula menyuntik antara 100 hingga 400 mililiter larutan darah tiruan kepada sukarelawan.

Sekiranya tiada kesan buruk dikesan, ujian akan diteruskan untuk menilai keberkesanan dan keselamatan rawatan tersebut. Sasaran penyelidikan ini bagi menjadikan ia dapat digunakan secara praktikal menjelang tahun 2030.

Potensi Darah Tiruan Serasi Semua Jenis Dalam Dunia Perubatan

Penemuan darah tiruan serasi semua jenis ini membuka lembaran baharu dalam dunia perubatan. Ia bukan sahaja dapat menggantikan keperluan darah penderma, malah boleh menjadi penyelesaian utama dalam situasi kecemasan, peperangan atau bencana alam apabila ujian keserasian darah tidak dapat dilakukan dengan segera.

Dalam pada itu, Profesor Teruyuki Komatsu dari Fakulti Sains dan Kejuruteraan Universiti Chuo turut menjalankan penyelidikan ke atas pembawa oksigen tiruan.

Penyelidikan beliau menggunakan hemoglobin yang disaluti albumin. Kaedah tersebut bertujuan menstabilkan tekanan darah serta merawat pendarahan dan strok.

Setakat ini, ujian ke atas haiwan menunjukkan keputusan yang memberangsangkan. Para penyelidik kini bersedia untuk memulakan ujian ke atas manusia.

Sumber: Tokyo Weekender

BACA: Dr Asyraf Kongsi Kisah Graduan TVET MARA Kini Mekanik Pesawat Di Doha

BACA: Pelaksanaan e-Invois Ditangguh Bagi Pendapatan Bawah RM5 juta – LHDN