Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Senyuman bangga jelas terpancar pada wajah Jess Chua Si Rou apabila buat pertama kali beliau berjaya berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan lancar tanpa rasa gentar.
“Saya belajar cara berkomunikasi dengan rakan-rakan, selain mempelajari perkataan dan frasa baharu berkaitan aktiviti seharian,” kata pelajar Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Kedah itu, berkongsi pengalaman berharga daripada Matriculation English Immersion Programme (MEIP) 2025 anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM).
Program tiga hari yang berlangsung pada 4 hingga 6 September ini dianjurkan oleh Pusat Kecemerlangan dan Kepimpinan Pelajar (SELECT), Jabatan Hal Ehwal Pelajar UUM, dengan penyertaan kira-kira 70 pelajar dari Kolej Matrikulasi Kedah dan Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Kedah.
Menariknya, MEIP 2025 dibimbing oleh 13 fasilitator mahasiswa UUM bersama seorang guru bahasa Inggeris dari Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Shahrul Niza Said. Kehadiran fasilitator mahasiswa menjadikan suasana pembelajaran lebih santai, mesra dan interaktif.
Sepanjang program, pelajar terlibat dengan pelbagai aktiviti seperti language games, simulasi komunikasi harian dan kerja berkumpulan. Walaupun dipenuhi dengan gelak tawa, setiap aktiviti tetap memberi kesan besar kerana pelajar berani mencuba dan berkomunikasi tanpa takut salah.
“Menerusi program ini, kami dapat mengeratkan hubungan, bertemu rakan baharu dan mempelajari perkataan baharu,” kata seorang lagi peserta, Sacktydharan Murulikrishnan, yang berharap program ini diteruskan dengan pengisian lebih menarik pada masa akan datang.
Menurut fasilitator yang juga Pengarah program, Raudhatul Husna Ahmad Sabri, MEIP 2025 bertujuan mengubah persepsi pelajar terhadap bahasa Inggeris.
“Kami mahu pelajar melihat bahasa Inggeris bukan sebagai beban, tetapi jambatan keyakinan diri untuk berani bercakap, bergaul dan mencuba sesuatu yang baharu,” jelasnya.
Katanya lagi, objektif utama adalah menjadikan pembelajaran bahasa Inggeris lebih menyeronokkan sekali gus memberi keyakinan kepada pelajar untuk berkomunikasi, menambah perbendaharaan kata dan meningkatkan kemahiran pengucapan awam.
MEIP 2025 membuktikan bahawa bahasa Inggeris bukan sekadar subjek peperiksaan, tetapi pengalaman yang mampu mengubah keyakinan diri pelajar daripada takut kepada berani berdiri dan bercakap dengan yakin.
Majlis penutup MEIP 2025 telah disempurnakan oleh Dekan Hal Ehwal Pelajar UUM, Prof. Madya Dr. Zainudin Omar di Dewan Serbaguna Pusat Penginapan Pelajar (SAC), UUM, dengan kehadiran pegawai-pegawai UUM serta guru dari kolej matrikulasi yang terlibat.